Showing posts with label coretan... Show all posts
Showing posts with label coretan... Show all posts

Friday, September 4, 2026

Falsafah Pembaris Plastik: Lurus Bila Perlu, Lentur Bila Perlu

Ada banyak kejadian yang berlaku dalam hidup aku sekarang menyebabkan aku teringat sesuatu. Tahun 2019, aku menghadiri satu kursus guru tempat aku mengajar, dan salah satu soalan ditanya dalam checklist ujian personaliti:
"Peraturan boleh dilanggar"  & "Peraturan perlu dipatuhi"

Dan aku yang masih darah muda masa tu, haha, terus angkat tangan memberitahu penceramah, kena tambah satu lagi soalan, "Peraturan kena fleksibel", suka hati aku je kan betulkan penceramah.😂😂 Sebab aku sangat tak setuju sebab kedua-dua pernyataan yang diberikan. Sebab ini akan menjadikan terlalu ekstrem, kalau tiada peraturan, hidup akan huru-hara. Manakala terlalu rigid dengan peraturan, boleh menyebabkan banyak benda yang sepatutnya boleh dilakukan tidak dilakukan kerana terlalu memikirkan tidak boleh mengubah peraturan.

Dan lagi lawaknya, dua orang bff aku masa tu yang sangat berpegang kepada "Peraturan boleh dilanggar" akhirnya bila berkawan dengan aku menyebabkan kami mengeluarkan falsafah pembaris plastik, 🤣🤣.

Bagi kami, "Jadilah seperti pembaris plastik, bila perlu lurus, lurus lah gunakannya, bila boleh lentur, lenturkan pembaris tersebut. " macam random gila bila fikir mana datang entah falsafah kami ini. Dan kami giat menyebarkannya kepada students form 4-form 5 yang dah matang. Nasib lah students kami masa tu, 🤣🤣.



Dan sehari dua ni, aku terbaca status pelakon Haidar Hasanudin di Threads, "“Kita perlu melayar tanpa terkejar-kejar, kita kena laju tapi bukan melulu.”

Aku tersentak bila baca, ada sesuatu menyentak fikiran bawah sedar aku. Mungkin masalah bermula apabila kita terlalu lama hidup dengan satu ekstrem sehingga kita membina ekstrem yang lain untuk melawannya. Berdepan orang yang lambat, kita belajar mendesak. Berdepan orang yang melulu, kita belajar menahan. Lama-lama respons yang asalnya lahir daripada keadaan menjadi cara default kita menghadapi semua keadaan. Dan aku lah banyak terpaksa beradaptasi dengan kedua keadaan ekstrem ini, dan itu sangat meletihkan. Bukannya aku tak boleh, tapi kalau setiap kali keadaan, aku perlu menyesuaikan diri dengan dua keadaan ekstrem terlalu laju dan terlalu perlahan ini, malah dilabel pula oleh dua pihak dengan "skema' dan "tidak on time", benda tu sangat lelah.😭😭

Dalam Islam sendiri ada konsep wasatiyyah, tidak terlalu ekstrem dalam melakukan sesuatu, tapi tidak lah pula mengambil mudah dalam sesuatu perkara. Ambil jalan pertengahan/bersederhana dalam kehidupan kita supaya kehidupan lebih mudah dan tenang.

Dalam menentukan tindakan kita, pergerakan kita kena mengambil kira semua maklumat dan keadaan. Bukan bertindak melulu tanpa tahu tindakan kita nak ke mana, atau bertindak terlalu perlahan sedangkan maklumat sudah cukup untuk mengambil langkah mula. 

Kemudian, ada netizen komen. "Asal haluan perjalanan jelas, biarlah perjalanan mengikut waktunya," NO!, mana boleh ikut flow gitu je, kalau just ikut flow dan route diambil jelas, tapi tak tahu apa yang nak dikejar dan dipegang, perjalanan tu jadi tak ada makna pun. Kononnya fleksibel kan, "aku go with the flow je", tapi ikut flow tanpa tahu apa yang dikehendaki tanpa sedar menyusahkan orang lain yang terpaksa meneka. Manusia bukan ada telepati, dan aku boleh teka "dia mesti nak makan ni" setiap masa. Dan komen Haidar seterusnya, "Betulkan halatuju, baru ditariknya picu," YESS, balik asal, tentukan matlamat, ambil kira semua keadaan, baru gerak semula. 

Dan ini sesuai dengan status Haidar seterusnya, "Dan cahaya tetap mampu menembusi pintu yang tertutup rapat, ...selagi adanya ruang''.  Yang aku faham, cahaya tetap bergerak mencari ruang untuk masuk ke dalam pintu yang ada, bila dah ada matlamat dan kita pegang sungguh-sungguh, usahakanlah macam mana pun selagi ada ruang dan peluang, tapi jangan lupa matlamat asal.

Tentukan apa matlamat dengan firm/jelas, ambil kira consequences kepada diri dan orang lain kerana matlamat tak menghalalkan cara. Dan jika terjumpa dua matlamat atau lebih yang boleh dipegang tanpa dua-dua membatalkan atau beri kesan besar satu sama lain, kekalkan saja keduanya. Sepanjang perjalanan pula, cara jika perlu adjust, adjust la jangan terlalu rigid atau selesa ikut flow, janji matlamat tidak dilupa. Ini sesuai dengan falsafah pembaris plastik aku tadi, haha, bila perlu ikut peraturan, ikutlah, tapi bila peraturan yang ada tidak munasabah, lenturkan sikit jangan terlalu rigid, kalau itu peraturan manusia. Dan hal ini tidak terpakai untuk  peraturan Allah yang kita sesuka hati boleh ubah.

Aku masa bersekolah dulu, ada beberapa peraturan yang bagi aku kononnya nak sesuaikan dengan imej sekolah agama, tapi aku tak nampak justifikasi kenapa peraturan tersebut perlu ada, yang lagi kelakar masa tu aku pengawas asrama, suka hati aku je lepaskan kawan-kawan yang tak ikut peraturan tu yang bagi aku tak relevan.😂😂

Mungkin menjadi pembaris plastik bukan tentang menjadi orang yang paling mudah menyesuaikan diri. Ia tentang tahu apa yang perlu kekal lurus, apa yang masih boleh dilenturkan, dan bila kita perlu berkata: kali ini, bukan aku yang perlu melentur. 

Dulu falsafah pembaris plastik aku,lurus bila perlu, lentur bila perlu.Sekarang, sedikit berubah iaitu,  jangan sampai orang lain menentukan setiap kali bila kita perlu melentur hanya kerana mereka tidak mahu menyesuaikan diri.Sebab ada beza antara aku memilih untuk lentur kerana keadaan memerlukannya dengan aku terpaksa sentiasa lentur supaya semua orang lain boleh kekal seperti mereka. Dan keadaan aku terpaksa sentiasa lentur tanpa orang lain ambil kebertanggungjawaban atas tindakan sendiri itu sangat melelahkan.



Sunday, August 23, 2026

Cinta Dalam Sekam: Rupanya Bukan Laila yang Shafiq Tak Boleh Lepaskan

 Aku rasa ini antara benda yang paling aku geram bila baca komen netizen tentang ending Cinta Dalam Sekam. Ramai yang masih melihat Uwan sebagai seorang lelaki yang tak pernah move on daripada cinta pertama dia, Laila. Jadi bila Uwan asyik sebut nama Laila, mereka terus simpulkan, “Itulah, sengsara sebab khianat Imran-Laila.”

SS ep 1, scene ep 1 pun dimulakan dengan Imran-Shafiq

Aku pula bila fikir balik selepas habis episod 12, rasa macam...

Eh, korang ke yang dementia ni? Hahaha.

Sebab kalau kita betul-betul susun balik perjalanan Syafiq, aku rasa Laila bukan punca utama trauma dan rasa bersalah dia.

Aku  nampak ada tiga kemungkinan pembacaan tentang kenapa Uwan tak waras dan asyik mencari Laila.

Pertama, Syafiq tak pernah move on daripada Laila.

Kedua, Syafiq sengsara sebab dia rasa bersalah kerana pernah “mengkhianati” Imran dan Laila.

Ketiga, dan ini yang saya rasa paling kena dengan karakter Syafiq, dia sebenarnya mengalami rasa bersalah yang sangat besar terhadap kematian Imran.

Dan bagi saya, nombor tiga jauh lebih kuat.

Sebab kita kena ingat balik apa yang sebenarnya berlaku.

Syafiq pernah membantu Imran dan Laila melarikan diri. Dia sendiri memilih untuk melepaskan mereka supaya dua orang adiknya itu boleh bina hidup baru bersama. Jadi hubungan dia dengan Laila sebenarnya sudah sampai satu titik yang selesai. Mereka berpisah dalam keadaan baik.Dan of course, imej terakhir Syafiq kepada Imran-Laila ialah abang yang sangat baik yang dah bantu mereka macam-macam memilih kehidupan baru.

Syafiq bukan merampas Laila daripada Imran. Malah dia membantu mereka.

Yang berlaku selepas itu ialah tragedi.

Semasa mereka melarikan diri daripada Jali, Syafiq dibelasah. Imran sebenarnya sudah diberi peluang untuk terus pergi. Hafiz diminta membawa Laila pergi. Tetapi Imran patah balik.Dia kembali untuk selamatkan abangnya.

Dan akhirnya Imran mati di pangkuan Syafiq.

Nah. Kalau saya jadi Syafiq, inilah yang saya rasa akan menghantui saya seumur hidup.

Sebab Syafiq bukan sekadar kehilangan adik.

Dia mungkin akan sentiasa fikir:

Aku yang suruh mereka pergi.

Aku yang sepatutnya lindungi dia.

Imran sudah boleh selamat.

Tapi dia patah balik untuk aku.

Dan akhirnya dia yang mati, sedangkan aku yang hidup.

Ini bukan rasa bersalah kerana “aku ambil Laila daripada Imran”.

Ini lebih kepada survivor's guilt.

Dan bila saya rewatch balik episod 1, saya rasa writer sebenarnya sudah bagi clue tentang perkara ini dengan sangat subtle.

Dalam keadaan Uwan tidak waras, dia menjerit:

“Laila! Kembalilah!”

Kemudian dia tanya:

“Kenapa tak cari dia?”

Dan yang paling menarik bagi saya:

“Dia berada di kilang lama. Dia tengah menunggu saya.”

Pada first watch, kita mungkin fikir, okay, Uwan masih teringat Laila. Sebab itu dia cari Laila.

Tetapi selepas kita tahu keseluruhan kisah Imran-Syafiq-Laila, ayat “dia tengah menunggu saya” tiba-tiba jadi sangat menyakitkan.

Sebab dari sudut memori Imran, memang ada satu perkara yang belum selesai.

Laila sedang menunggu dia kembali.

Imran pergi sekejap untuk mendapatkan duit dan kemudian mahu kembali kepada Laila. Tetapi dia dihalang oleh Dato Sabiri dan dikurung sebelum perkahwinan dengan Amanda.

Jadi dalam kepala Imran, mungkin memang masih ada satu titik memori yang tidak pernah selesai:

Laila sedang menunggu.

Saya rasa inilah sebab writer menggunakan nama Laila sebagai clue besar pada awal cerita. Ia membuat kita fikir Uwan masih terikat dengan cinta pertamanya.

Padahal bila difikirkan semula, Laila mungkin cuma menjadi pintu masuk kepada memori Imran.

Sebab apabila Uwan berada dalam keadaan tidak waras, dia bukan semata-mata “merindui Laila”.

Dia sedang kembali kepada satu bahagian hidup di mana dia ialah Imran, lelaki yang belum sempat kembali kepada Laila.

Dan ini juga membuatkan satu lagi scene dalam episod 12 jadi sangat cantik.

Selepas Syafiq selesai menceritakan semuanya kepada anak-anak dan Sarah, dia masih belum sepenuhnya waras. Dia keluar rumah dan memanggil:

“Im, Ya...”

Saya terus rasa, WAIT.

Sebelum ini dia asyik sebut Laila.

Tetapi sekarang dia kembali kepada panggilan “Ya”, iaitu panggilan Syafiq terhadap Laila.

Dan yang lebih menarik, nama Im muncul dahulu.

Bagi saya, ini seperti writer sedang menunjukkan bahawa pusat identiti Syafiq sudah kembali.

Dia bukan lagi berada sepenuhnya dalam memory Imran yang memanggil Laila sebagai “Laila”.

Dia kembali menjadi Syafiq yang mengingati:

Im dan Ya.

Dua orang adik yang pernah dia cuba selamatkan.

Dan kemudian kita sampai kepada kata-kata terakhirnya.

Ramai penonton menjangkakan Uwan akan menyebut:

“Ya...”

sebab mereka masih membaca Uwan sebagai lelaki yang tidak pernah move on daripada first love dia.

Tetapi tidak.

Dia sebut:

“Amanda, abang datang sayang.”

Dan masa itu saya cuma boleh:

OF COURSE LAH AMANDA.

Hahaha. Dan bagi yang lupa tu, Uwan sendiri sebut di ep 12, selepas mama kamu meninggal, ayah rasa kosong semula. Means, masa dalam keadaan emosi dia tak stabil menyebabkan dia menyebut nama Laila, bukannya nama Laila disebut sepanjang masa, aish geram aku dengan netizen ni pun kan, tapi tak pe, semua ada pendapat masing-masing.

Sebab bagi saya, pada titik itu cerita Syafiq dengan Laila dan Imran sudah selesai.

Dia sudah menutup buku tentang mereka.

Laila bukan lagi cinta yang Syafiq mahu miliki.

Laila ialah adik yang pernah dia sayangi dan cuba selamatkan.

Imran pula ialah orang yang menjadi punca rasa bersalah terbesar dalam hidupnya.

Tetapi Amanda ialah cinta akhir Syafiq.

Perempuan yang menjadi isterinya, ibu kepada anak-anaknya, dan orang yang dia pilih untuk bina kehidupan selepas segala tragedi itu.

Jadi bila Syafiq berkata:

“Amanda, abang datang sayang.”

saya tak rasa itu sekadar romantic ending.

Bagi saya itu ialah identity payoff.

Dia mati sebagai Syafiq.

Bukan sebagai Imran.

Bukan sebagai lelaki yang masih mengejar Laila.

Bukan sebagai lelaki yang terperangkap dalam cinta pertama.

Tetapi sebagai Syafiq, suami Amanda dan ayah kepada anak-anaknya.

Dan mungkin itu yang saya rasa ramai penonton terlepas kerana writer memang sengaja menjadikan “Laila” sebagai clue paling obvious.

Kita semua sibuk bertanya:

“Kenapa Uwan masih sebut Laila?”

Sedangkan soalan yang lebih tepat mungkin:

“Kenapa setiap kali Uwan sebut Laila, dia sebenarnya sedang kembali kepada memori Imran?”

Bila saya fikir macam ni, rasa bersalah Syafiq jadi jauh lebih tragis.

Dia sudah buat perkara yang betul.

Dia sudah membantu Imran dan Laila lari.

Dia sudah melepaskan mereka.

Mereka berpisah dalam keadaan baik.

Tetapi Imran memilih untuk patah balik demi menyelamatkan abangnya.

Dan Syafiq hidup dengan hakikat bahawa orang yang dia cuba selamatkan akhirnya mati ketika menyelamatkan dia pula.

Itulah luka yang saya rasa Syafiq bawa.

Bukan kerana dia tak boleh lepaskan Laila.

Tetapi kerana dia tak pernah boleh lepaskan persoalan:

“Kenapa Imran yang mati, sedangkan aku yang hidup?”

Dan bila Ep 12 akhirnya memberikan Syafiq ruang untuk berhadapan dengan memori Imran, barulah dia boleh kembali kepada dirinya sendiri.

Sebab itu perubahan kecil daripada “Laila” → “Ya” → “Im” → “Amanda” bagi saya bukan random.

Itu macam perjalanan emosi Syafiq sendiri.

Dan honestly, semakin aku rewatch drama ni, semakin aku  rasa writer memang sangat kedekut dengan dialog. Hahaha. Tapi bagi penonton yang suka thrill meneka macam ni, memang brilliant. Bilamana drama Melayu dah mula gunakan teori psikologi dalam menjelaskan perubahan watak.

Ke aku yang banyak sangat tengok Kdrama dan Cdrama sampai boleh terfikir jauh, haha. Lantaklah nama pun teori kan, kalau writer kata betul, aku ok, kalau tak, nak buat macam mana. Aku akan teruskan meneka lagi.


Masa scene bergelak ketawa, aku rasa ni Haidar-Amir, bukan Syafiq-Imran.
Macam obvius nau gelak tu.



Natural gila scene borak Imran-Shafiq ni, bila rewatch balik, memang hubungan
Imran-Shafiq abang-adik ni yang ditekankan sebenarnya. Tapi nak wat cane, orang Melayu suka 
tema cinta, itu yang nampak cinta tiga segi, padahal boleh jadi ada dua segi empat tepat: Imran-Laila dan Syafiq-Amanda.😂


Saturday, August 22, 2026

Cinta dalam Sekam: Rupanya Saya Bukan Meneka Twist , Saya Meneka Shafiq

 Setelah lama saya tak update blog, drama Cinta dalam Sekam berjaya buat saya nak update blog semata-mata nak rant. Saya masih tak percaya saya boleh terfikir teori ini sebelum episod 12. 😂


Masa minggu episod 5-6, Amir Ahnaf pernah tulis di Threads, :

“ UWAN TU IMRAN…”


Ramai yang anggap dia bergurau atau troll. Bila episod 11 keluar pula, anak-anak Uwan sendiri berkata, “Tapi ayah kami Imran,” dan ketika itu memang ada penonton yang terus yakin bahawa Uwan ialah Imran.

Pada masa yang sama, ada juga teori bahawa Uwan sebenarnya Shafiq yang menukar identiti. Saya sendiri pada awalnya tak ambil serius pun teori itu.

Sampailah selepas habis episod 11, saya ternampak BTS interview Haidar Hasanudin baru release di ott Viu.  Saya saja layan sebab production keluarkan video pengalaman Haidar sepanjang berlakon dalam CDS.

Kemudian di hujung video, Haidar berkata:

“Saya Haidar, memegang watak Shafiq Zulkarnain…” lihat di minit 2:05


Saya terus:

Wait.

Kenapa saya rasa macam tak familiar nama penuh Shafiq disebut. Sepanjang 11 episod, kita tak pernah pun diberitahu nama penuh Shafiq.

Dan entah macam mana otak saya terus sambung dengan teori Shafiq menukar identiti.

Saya fikir dan meletakkan diri saya:

“Kalau betul Shafiq yang tukar identiti dan hidup sebagai Imran, macam mana dia akan pilih nama?”

Kemudian saya fikir lagi:

Shafiq Zulkarnain.

Kalau dia mahu mengambil nama Imran, saya rasa dia tak semestinya akan membuang seluruh identiti lamanya. Dia mungkin mengambil nama Imran, tetapi masih mengekalkan Zulkarnain.

Jadi saya terfikir:

Imran Zulkarnain.

Masa tu pun saya fikir saja-saja. Saya tak ambil serius. 😂

Kemudian episod 12 keluar.

Dan Shafiq(Uwan) sendiri berkata:

“Nama aku Imran Zulkarnain bin Mansor.”

Kemudian:

“Nama aku dulu Shafiq Zulkarnain bin Mansor.”

Saya:

……WAIT. SERIUS LAH?!

Yang membuatkan saya paling kagum bukanlah sebab saya “teka twist”.

Saya sebenarnya bukan meneka apa yang writer akan buat.

Saya cuba fikir:

“Kalau aku Shafiq, dengan semua pengalaman hidup dan rasa bersalah yang dia bawa, apa yang aku akan buat?”

Dan jawapan yang saya dapat secara spontan rupa-rupanya sama dengan jawapan writer.

Saya bermula dengan satu teori fandom di Threads:

Shafiq mungkin menukar identiti.

Kemudian saya mendapat satu maklumat baru:

Shafiq Zulkarnain.

Dan saya cuba cari mekanisme yang paling masuk akal dari POV Syafiq.

Akhirnya:

Imran Zulkarnain.

Dan writer memang buat begitu.

Itu yang membuatkan saya rasa puas hati gila. Sebab teori itu bukan sekadar “Uwan ialah Shafiq”. Ia menerangkan bagaimana Syafiq boleh menjadi Uwan tanpa kehilangan sepenuhnya identiti dirinya.

Dia mengambil nama Imran.

Tetapi dia mengekalkan Zulkarnain.

Dan selepas kita tahu seluruh kisah Shafiq, pilihan itu terasa sangat psychological.

Mungkin dia mahu hidup sebagai Imran kerana rasa bersalah dan kasihnya terhadap adiknya, tetapi dia juga tidak benar-benar membuang siapa dirinya.

Dia masih Shafiq.

Cuma sekarang dia hidup membawa nama Imran.

Dan yang paling lawak, Amir Ahnaf sebenarnya sudah “spoiler” dari episod 6:

“Sebenarnya Uwan tu Imran.”

Haidar pula bagi kita satu lagi clue sebelum final:

“Shafiq Zulkarnain.”

Dua-dua pelakon ni memang nakal. 😂

Amir bagi jawapan yang betul tetapi membiarkan penonton assume “Imran” yang mana.

Haidar pula bagi nama penuh Shafiq yang sepanjang 11 episod kita tak pernah tahu.

Kemudian episod 12 baru kita faham kenapa nama itu penting.

Cuma kalau production memang sengaja, saya suka, haha. dan lebih geram di caption video Youtube diletakkan SEBAGAI SHAFIQ, bukan SHAFIQ ZULKARNAIN. 

Jadi, saya be like, boleh je kut Haidar sebut sebagai Shafiq, so bila tiba di ep 12, penonton macam ok, tapi kenapa kat caption ditulis SHAFIQ, tapi dia sebut Shafiq Zulkarnain, adakah dia disuruh sebut macam tu? saya tak boleh sangka baik dah kat production.🤣


Jadi sekarang saya rasa macam:

Saya rasa inilah jenis pengalaman menonton yang saya paling suka.

Bukan semata-mata berjaya meneka twist, tetapi apabila kita cuba memahami cara watak itu berfikir, kemudian writer membawa watak tersebut ke keputusan yang sama.

Jadi kali ini saya bukan sekadar rasa:

“Saya betul.”

Saya rasa:

“Oh. Rupanya cara saya memahami Shafiq memang selari dengan cara writer memahami Shafiq.”


Dan banyak lagi sebenarnya saya nak kupas tentang cerita ini, antaranya bahasa cinta berbeza Shafiq-Amanda, Imran-Laila, sahabat, kekeluargaan, misteri dan legasi. Satu saya nak puji produksi cukup bijak dengan tidak membiarkan sedikit pun klu pasal nama Uwan ni tersalah sebut atau disengajakan dalam cerita. Dan rupanya, kalau produksi memang betul memberi klu melalui pelakon yang memegang watak ini di luar cerita.Sabar je la aku ni,

Friday, October 1, 2021

Review Coffee Ikaga Deshou

 Review J-drama


Jarang-jarang aku tonton drama Jepun. Satu hari di kala aku bosan-bosan, aku go through Mydramalist, terjumpa drama ni dalam list genre slice of life. Episod pun sikit, dalam 8 episod. Satu episod dalam 40 minit lebih je, maka aku pun decide tengok.

                              Coffee Ikaga Deshou tu maksudnya "Would you like some coffee?"

Bila dah habis tengok, kenapa la tak jumpa drama ni dari awal. Aku dah tengok drama ni masa bulan 8. Sekarang baru rasa nak buat review sempena hari kopi sedunia. Drama ni mengisahkan Hajima Aoyama, seorang tauke yang ada coffee truck. Berbanding ada coffee house yang tetap, dia lebih suka run secara truck dan setiap seminggu, dia akan pindah ke tempat lain. Kenapa dia suka pindah-pindah, kena la tengok.


Setiap episod, akan ada penerangan tentang jenis kopi yang berbeza. Seni setiap kopi pun diterangkan. Kenapa la drama best macam ni 8 episod je, huhu. Ada special episode tak silap aku, tapi belum jumpa yang english subs lagi. Kena tunggu subs pulak.

Drama ni bukan cerita tentang kopi je, ada jugak tentang pengajaran hidup, watak hero ni pun misteri. Tak rugi tengok bagi sesiapa yang suka drama slice of life.







Selamat Hari Kopi Sedunia

 Happy International Coffee Day for all coffee lovers!



Tuesday, August 17, 2021

Review Monthly Magazine Home

 Review K-Drama


Drama ni boleh dikatakan kategori slice of life. Mengisahkan Na Young-won lakonan Jung So-min sebagai seorang editor. Watak penulis dan editor sesuai sungguh dengan So-min ni. Sebelum ni, dia pegang watak penulis dalam Because This is My First Life. Permulaan cerita, dia kena halau dari rumah sewa sebab ada orang beli bangunan tempat dia tinggal Dipendekkan cerita, dia pun baru kena buang kerja, kira sudah jatuh ditimpa tangga la.

Kemudian, kenalannya rekemen kerja kat syarikatnya. Young-won yang terdesak dan ketua editornya terdesak terima je Young-won ni kerja tanpa interview beria sangat. Rupanya, sebab bos mereka Yoo Ja-sung lakonan Kim Ji-suk seorang yang sangat cerewet, tak ada yang tahan kerja kat situ sebelum ni.Syarikat Young-won pergi interview ni syarikat majalah yang bertemakan dekorasi rumah dan hartanah. Dan Ja-sung ni rupanya ejen hartanah terkenal yang pakar bab-bab hartanah ni dan baru beli syarikat tu dan jadi CEO. Ja-sung ni juga yang beli rumah Young-won sebelum ni.

Disebabkan satu insiden, Ja-sung sewakan salah sebuah rumahnya kepada Young-won.Cekal betul watak Young-won dalam cerita ni. Ja-sung ni jugak ada channel Youtube sendiri bagi tips beli rumah dan urus kewangan. Young-won pun jadi semangat nak simpan duit untuk beli rumah sendiri.

                                         Cantik pejabat majalah Monthly Magazine Home ni.

Cerita ni sangat healing. Cerita tentang kehidupan di mana semua orang ada impian ada rumah sendiri.Watak-watak pekerja di syarikat Monthly Home pun ada karakter masing-masing. Confirm lepas tengok cerita ni, kita semua jadi semangat nak saving untuk ada rumah impian sendiri. Ilmu hartanah dan bagaimana memilih rumah untuk dibeli pun kita dapat dengan tengok cerita ni.


Cerita ni juga masuk kategori drama lipat kain bagi aku. Maksudnya, best untuk diulang banyak kali sebab tak berat jalan ceritanya dan kita boleh relate kehidupan mereka dalam cerita ni. Kerenah pekerja-pekerja yang bertahan dengan Ja-sung yang cerewet pun kelakar untuk ditonton. Recommended K-drama terbaik bagi genre
slice of life.



Thursday, July 29, 2021

Review Kim Ji-yeong ( 김지영) Lahir 1982

Selepas tonton filemnya, baru aku baca bukunya. Bagi aku, baik buku atau filem, keduanya mempunyai garapan terbaik dan tersendiri bagi menterjemah rasa Kim Ji-yeong.Boleh dapatkan buku ni dari @gadisbuku.Filem nya aku tonton di TVN Movies. Novelnya diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh penerbit Gramedia.Novel ni jadi kontroversi kat Korea sebab bawak isu feminisme kononnya. Bukan senang wanita nak survive dalam sistem patriarki di negara Asia khususnya.

Buku ini mengisahkan Kim Ji-yeong yang mula mengalami depression setelah melahirkan anak. Dia mula menjadi orang lain. Hal ini disedari oleh suaminya. Yang bagusnya, watak suami Ji-yeong sangat supportive supaya isterinya menjadi sihat seperti sedia kala. Dalam filem digambarkan jelas sikap suaminya yang menyokong setiap apa yang Ji-yeong buat.Dalam filem, Gong Yoo membawa watak suami Ji-yeong yang menggalakkan isterinya mendapatkan rawatan di hospital, menyusun temujanji dan menguruskan kerja rumah. Jika tidak kerana sokongan suami, mungkin depression Ji-yeong menjadi lagi parah.

Dilema wanita bermula sejak lahir, zaman sekolah, universiti, alam pekerjaan, dan bergelar isteri dan ibu digarap dengan baik menerusi monolog dalaman Kim Ji-yeong. Semua yang bergelar perempuan rasanya boleh relate dengan monolog dalaman Kim Ji-yeong. Diskriminasi antara pelajar lelaki dan perempuan di sekolah, diskriminasi terhadap pelajar universiti sewaktu untuk mendapatkan pekerjaan, sehinggalah wanita bekerjaya yang terpaksa mengimbangkan antara kerjaya dan tugas sebagai ibu.


Sentiasa ada tekanan pada setiap peringkat umur bagi wanita. Ditambah pula dengan sistem patriarki yang diamalkan di kebanyakan negara Asia menyebabkan wanita sentiasa tertekan untuk memenuhi jangkaan masyarakat. Di Korea lagi lah apabila tekanan wanita untuk melahirkan anak lelaki untuk membawa nama keluarga.Isu tentang diskriminasi gender ini nampaknya tak akan berkesudahan.

Persoalannya, adakah wanita akan terus membiarkan diri larut dalam jangkaan masyarakat atau berani bersuara dalam mempertahankan diri?

                                                               Review di ML Studios

Tuesday, July 27, 2021

Review Manikam Kalbu

 


Sungguh teruja membaca kisah dua zaman diceritakan dari sudut pandang seekor kucing. Zaman kesultanan Melayu Melaka membawakan kisah Manikam Kalbu, seorang hamba yang meminati ilmu busana. Garis masa menunjukkan transisi penduduk ketika itu di awal permulaan Islam di mana pakaian menutup aurat belum meresap dalam kalangan masyarakat.Banyak penggunaan bahasa Melayu lama dan istana digunakan tetapi jangan risau, ada glosari di bahagian belakang buku ini.

Manakala, zaman moden menceritakan Ziryab, seorang pelajar yang mengkhusus dalam jurusan jahitan di Sekolah Teknik.Dia seorang yang berminat dengan ilmu jahitan dan pakaian Melayu Islam walau dia seorang jejaka.Disebut semua jenis kain dan jahitan di dalam buku ini.Terjumpa la istilah jahitan kia, insang pari, kain cindai jantan, kain kasa dan pelbagai lagi.Teringat kenangan ketika belajar subjek Kemahiran Hidup Bersepadu pilihan Ekonomi Rumah Tangga ketika menengah rendah. 

Garapan yang menarik menggabungkan ilmu tentang busana Melayu serta sejarahnya. Dikaitkan pula dengan bagaimana kedatangan Islam membentuk kebudayaan Melayu itu sendiri dalam berpakaian. Falsafah penciptaan baju kurung dan baju Melayu disebut dengan jelas.Sungguh lah Melayu dan Islam itu berpisah tiada.

Sunday, May 23, 2021

Willing to Learn

 Salam mahabbah..

Lama tak rant kat sini..Kali ni saja nak rant tentang life aku tahun ni. Pandemik covid-19 menyebabkan banyak urusan tergendala tapi ada juga hikmahnya "stay at home" kali ni. Aku ambil peluang masa berada di rumah untuk belajar banyak perkara baru.

Hikmahnya banyak pusat-pusat pembelajaran menawarkan kursus secara atas talian.Ni bagus sebab menjimatkan kos pengangkutan.Hanya perlukan line internet yang stabil, daftar sahaja lah mana-mana kursus yang anda berkenan.Belajar bahasa asing, ilmu agama, ilmu tajwid, kursus kemahiran komputer dan banyak lagi.


Alhamdulilah, tahun ni aku memulakan pengajian dalam Sarjana Pendidikan(Pendidikan Islam) mod cuti sekolah di UKM, Bangi. Ekoran pandemik juga, kelas dijalankan secara atas talian sahaja. Cabaran juga hendak memahami pembelajaran dengan tidak dapat bersemuka dengan pensyarah.Semester 1 bakal berakhir bulan 6 ini. Sem ini aku ambil 4 subjek; Penulisan Akademik I, Kaedah Penyelidikan I, Isu-Isu Pendidikan di Malaysia, dan Budaya dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa.

Baru lah faham perasaan pelajar ku setiap kali kelas PDPR, maafkan ustazah ya anak-anak jika terlalu tegas semasa PDPR.

Aku juga ambil kesempatan untuk mendaftarkan diri dalam kelas bahasa Korea.Kelas bermula minggu ini selama 8 minggu dengan pertemuan sekali seminggu. Bermula dengan mengenali huruf Hangul dan belajar membaca serta menulis. Menarik sekali. Yang berminat, boleh ke fb Akademi Bahasa Korea untuk tahu cara mendaftar.


Semoga urusan tahun ini dipermudahkan.Mohon doa kalian yang membaca post ini.

Thursday, April 8, 2021

Review Pendiam oleh Aiman Amri & Aqila Masri

 


Sekejap sahaja aku mampu menghabiskan bacaan buku ini dalam masa sehari. Perkara yang berkaitan dengan diri kita sudah tentunya mampu menarik pembaca membacanya tanpa berhenti. Kupasan secara asas perbezaan introvert,extovert dan ambivert melalui contoh kehidupan seharian membuatkan buku ini mudah difahami.

Jenis-jenis introvert dinyatakan dalam buku ini. Ada 4 jenis iaitu Introvert Sosial, Introvert Berfikir, Introvert Gementar dan Introvert Tenang.Aku rasa aku termasuk dalam campuran Introvert Berfikir dan Introvert Tenang.

Antara deskripsi karakter Introvert Tenang yang dinyatakan ialah:

"Mereka ini biasanya banyak berfikir, berimaginasi dan menganalisis. Mereka lebih seronok menggerakkan idea dan pemikiran (thought), berbanding bersuara (voice). Mereka tiada masalah untuk kekal bertenaga dalam persekitaran sosial orang ramai, tetapi akhirnya mereka akan tak banyak bercakap dan lebih banyak berfikir atau menganalisis."

Sementara itu, antara deskripsi karakter Introvert Tenang yang aku rasa tepat dengan diri aku:

"Setiap tindakan mereka, pasti dimulai dengan berfikir dahulu. Mereka mampu untuk tekan butang pause sebelum membuat sesuatu dan mencari cara terbaik untuk bersuara dan bertindak.Biasanya untuk mengenal mereka ini, jenis diam dan banyak mendengar pandangan orang dalam kumpulan dahulu, kemudian apabila mereka bersuara, akan tinggi peratusan untuk dipersetujui dan dikagumi dengan karisma mereka."

Ni yang orang sekeliling tak faham, aku ingat aku pelik jenis tak suka bagi pendapat antara yang terawal kalau dalam mesyuarat atau perbincangan. Bila aku dah dengar semua pendapat dan tak jumpa solusi, baru biasanya aku akan bagi pendapat hasil analisis aku sendiri. Rupanya memang wujud karakter sebegini.

Seperti kata penulis di akhir buku ini, "Tidak salah untuk menjadi diri sendiri malah itu yang sebaiknya. Usah lagi memakai topeng dan menipu diri. Mari berbangga dengan identiti sendiri. Kerana kita semua unik dan berbeza."

Boleh dapatkan buku ini di sini :Iman Shoppe

Monday, February 22, 2021

Review A Thinking Person's Guide to The Truly Happy Life

 


Mengenali buku ini melalui AA Plus @aaplus.co oleh @aidaazlin_  sebagai salah satu perbincangan Book of the Month. Buku ini ditulis oleh His Royal Higness Prince Ghazi bin Muhammad.

Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian perbincangan, "Life" dan "Happiness". Penulis mengaitkan tujuan kita dihidupkan di muka bumi dan kaitannya bagaimana untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia dan pastinya di akhirat sana.

Antara quotes yang aku suka daripada buku ini:

-  "Indeed,happiness, as we have seen,comes from the activity of getting or having.But giving as much as we can all the time in some way to someone or something that needs it can lead to happiness." 

- "From the Islamic point of view, the question 'why is life' is tantamount to asking 'why did God create human beings?'. (Az-Zariyat, 51:56)

-"All this is to say then that in order for people to be happy, society has to give people their fundamental rights.(life, religion, family and dignity, reason, property)".

- "Uninterrupted giving leads to happiness; the root of happiness is paradise; the root of paradise is divine beatitude; the root of divine beatitude is divine bliss, and divine bliss is inherent in God's perfection."

- "Happiness comes through giving our time, energy, acts, care, mercy, love, knowledge, possessions, wealth, health, and even our lives."

Buku yang akan menjadi bahan bacaan saya berulang kali semestinya sebagai muhasabah diri. Sangat bagus dijadikan permulaan bagi sesiapa yang mencari bahan bacaan motivasi diri dalam bahasa Inggeris yang mudah difahami.

Sunday, February 21, 2021

KShow Yang Menarik Boleh Ditonton Part 2

 Sambungan bahagian 1.

1. New Journey to the West, tvN (2015- sekarang)

Kang Ho-dong, Lee Soo-geun, Eun Ji-won, Song Mino, P.O, Cho Kyu-hyun, Ahn Jae-hyun

       Cast masa musim 3 dan 4.

Aku mula tengok NJTTW ni sebab Kyuhyun ada. Last-last, terhibur sebab chemistry semua cast. Tambah pulak yang jadi PD NJTTW ni ialah Na Young-seok PD yang famous di Korea dengan rekod cemerlangnya sebelum ni semasa terbitkan 2 Days and 1 Night. Musim 2-6 semua cast shooting kat luar negara. Musim 7-8 yang latest shooting dalam negara je sebab pandemic Covid19.

Aku suka kuiz-kuiz Na PD dalam ni macam teka OST bagi drama dan filem, teka objek, seni bina, malah nama orang. Dan, kebanyakan mereka gagal dalam misi berkumpulan, haha, kesian sungguh tak dapat makan sedap-sedap. Morning mission pun best dan kelakar sebab semua akan sabotaj satu sama lain supaya gagal dan tak dapat makan breakfast.Misi utama mereka setiap musim untuk selesaikan misi untuk dapat 7 Dragon Ball dan krew produksi akan tunaikan semua hajat dan hadiah yang mereka nak.

Masa musim 1-4, mereka akan pegang watak-watak daripada siri klasik China,  Journey to the West. Masa musim 5-8, Na PD makin kreatif dengan macam-macam tema watak dan kostum cast kena pakai.Paling gempak bagi aku masa musim 7. Boleh la tengok Ho-dong comel bila jadi beruang panda, Su-geun jadi orang Mexico, Ji-won jadi Rain, Kyuhyun kena cat muka jadi biru 3 kali berturut-turut sebab jadi Genie dan Statue of Liberty, Mino dan P.O yang bff jadi pasangan Firaun dan Cleopatra.Tapi, paling aku suka masa depa pegang watak daripada filem, Mino betul-betul tiru watak Jack Sparrow, Kyuhyun gelak sebijik macam Joker, dan P.O yang comel jadi Olaf.



Chemistry cast pun best untuk ditonton, kita boleh tengok Ahn Jae-hyun jadi bff dgn Kyuhyun, Mino dan P.O yang memang kawan baik pun di luar, Eun Ji-won yang pelik daripada orang lain dan suka berdebat dengan Kyuhyun, dan macam mana Kang Ho-dong dan Lee Su-geun sebagai pelawak yang dah veteran bagi peluang cast yang lain untuk menyerlah.Tak sabar tunggu musim 9 tahun ni. Harap Na PD sempat shooting dengan Mino dan P.O sebelum diorang pergi military service.




2. Kang Kitchen, tvN (2019)

Kang Ho-dong, Lee Soo-geun, Eun Ji-won, Song Mino, P.O, Cho Kyu-hyun, Ahn Jae-hyun

Ni spin-off semua cast NJTTW masa tahun 2019. Semua cast akan buka restoran di mana semua jadi tukang masak, buat air, cashier.Pendek kata, semua buat sendiri. Bila lagi nak tengok retis ni serve customer kan. Kalau nak tengok semua 7 orang cast ada termasuk Ahn Jae-hyun, P.O dan Kyuhyun ada, kena tengok Kang Kitchen.(P.O join NJTTW masa musim 5-6 masa Kyuhyun pergi military service, Jae-hyun tak join NJTTW masa musim 7-8 sebab kes cerai dengan Ku Hye-sun)

Masa musim ke-2, temanya masakan Korea macam teokpokki dan jajangmyeon.Masa ending musim 2, baru Kyuhyun ada selepas discharge daripada military service. Musim ke-3, temanya masakan Itali di mana Kyuhyun buat pizza saiz 60 cm. Kebolehan seni Mino dimanfaatkan dengan buat dessert cantik-cantik dengan Ji-won.


3. Idol Room, JTBC (2018-2020)

Jeong Hyeong-don, Defconn.

Lepas ada krisis dengan MBC, Doni Coni buat rancangan ni pulak.Best jugak sebab idea lagi fresh.Aku akan tengok kalau ada idol yang best je jadi guest. Tapi setakat ni, semua yang jadi guest yang dah otai dan dah biasa dengan lawak Doni Coni.

4. Amazing Saturday, tvN (2018-sekarang)

Boom, Shin Dong-yup, Kim Dong-hyun, Moon Se-yoon , Park Na-rae


Rancangan ni unik cast tetap dan guest akan teka dan sambung lirik lagu.Jika betul, dapat reward makanan sedap-sedap. Boleh tahu kepelbagaian makanan seluruh dunia dalam rancangan ni.

5. Coffee Friends, tvN (2019)

Yoo Yeon-seok, Son Ho-jun, Choi Ji-woo and Yang Se-jong


Rancangan ni hasil idea Yoo Yeon-seok dan bffnya, Son Ho-jun. Mereka buka restoran di Jeju dan hasil keuntungan didermakan.Harga makanan dan minuman tak ditetapkan, terpulang kepada pelanggan nak bayar berapa pun.Yeon-seok memang pandai masak dan Ho-jun ada lesen barista. Yeon-seok rekrut Se-jong dan Ho-jun rekrut Ji-woo sebagai cast tetap. Se-jong incharge bahagian basuh-membasuh dan Ji-woo bahagian cashier, pelayan dan hiasan kedai. Mereka juga jemput guest untuk tolong sekali sekala. DBSK Yunho, Nam Joo-hyuk, B1A4 Baro, dan EXO Sehun antara yang pernah menolong depa di kafe.

6. Exciting India, KBS (2015)

Kyuhyun (Super Junior), Minho (SHINee), Jonghyun (CNBLUE), Sunggyu (Infinite), and Suho (EXO)


Baru aku tau semua cast ni dipanggil Kyu-line. Geng Kyuhyun semua ni.Sayangnya Changmin ada masa awal dan akhir episode je, tak dapat ikut pergi India sebab konflik jadual. Stesen KBS bagi task untuk idol-idol ni semua pergi buat kaji selidik pasaran Kpop di India. Masa tahun 2015 tu, Kpop belum begitu hype di India.Mereka akan pergi interview rakyat tempatan dan buat liputan berita untuk ditayangkan di berita utama di KBS. Mereka rasa sendiri pengalaman jadi wartawan dan excited hafal skrip untuk ditayangkan di berita utama.

Saturday, February 20, 2021

Jang Yoon Jeong -A Slow Train Bound to Mokpo

Aku discover lagu trot yang best ni masa tengok Mystical Record Shop. Beliau ialah penyanyi lagu-lagu trot. Apa itu lagu trot?. Nanti aku buat entri khas tentang lagu trot.

                                          Sesuai sungguh beliau nyanyi lagu ni pakai hanbok.


                                          

mokpohaeng wanhaengyeolcha

majimak gicha tteonagago

neujeun bam hollo oeroi

hanjan sul momeul gidaenda


uriui sarangeun ije

yeogikkajiga kkeutinggayo

uriui jjalbeun inyeondo

yeogikkajiga kkeutinggayo


jalgayo insaneun mothaeyo

ajik miryeoni namaseo

eonjengga uri dasi mannaneun geunal

geunyang pyeonhi useul su itge

geunyang pyeonhi aneul su itge


English translation:

A slow train bound to Mokpo

After the last train

I'm left alone at night feeling lonely

I lean my body after a glass of alcohol


Is this the end here 

for our love now?

Is this the end here 

for our short relationship too?


Farewell, I won't be able to say goodbye

Because I still have lingering feelings

We will meet again someday

And we can smile comfortably then

And we can hug comfortably then


Ni first persembahan live lagu ni dapat 24 juta tontonan.


Thursday, February 18, 2021

Review Secebis Cinta Tihani karya Ednin

 


Salam mahabbah.

Semenjak Jemari Seni menamatkan operasi, aku dah jarang baca novel sebab dah terbiasa dengan gaya penulisan penulis-penulis JS. Cuma, ada beberapa penulis JS yang masih aktif terbitkan novel dengan syarikat lain dan juga terbit sendiri yang aku follow.Jadi, bila tahu Ednin terbitkan novel baharu, maka dengan pantas aku pm di facebook dan dapat beli dengan autograf penulis.

Seperti biasa cerita-cerita Ednin yang sebelum ini, cerita ini sangat manis tentang Tia dan Imar. Penceritaan oleh Ednin kali ini lebih lancar tanpa ada konflik yang terlalu menyerabutkan jalan cerita.Hal ini juga mungkin disebabkan watak Tia dan Imar yang sudah masuk 30-an jadi digambarkan mereka mampu menangani konflik hidup dengan lebih matang.

Ini kelebihan kebanyakan penulis-penulis kelahiran Jemari Seni, mereka mampu menulis cerita yang kita rasa watak-watak tersebut ada di sekeliling kita dan penceritaan mereka tidak terlalu drama seperti drama adaptasi pukul 7 malam,,oppss...

Jika anda inginkan cerita yang tidak stress tanpa konflik orang ketiga yang tidak berkesudahan, inilah novelnya.

p/s: kepada penulis @eforednin :Wujudkah kafe "Love Me, Please! dalam novel ini?

Penulis dah jawab dekat post den di ig, kafe tu imaginasi penulis je. Kan best kalau ada betul-betul kafe macam tu.



Thursday, February 11, 2021

KShow Yang Menarik Boleh Ditonton Part 1

 Kali ni, aku terasa nak buat entri tentang Kshow yang boleh ditonton.Ni list berdasarkan preference aku sendiri, lain orang lain citarasa ya.List aku susun random, tak ikut top 10 ke apa sebab susah nak decide mana yang paling best.

1. Running Man, SBS (2010- sekarang) 

Yoo Jae-suk, Haha, Jee Seok-jin. Kim Jong-kook. Lee Kwang-soo. Song Ji-hyo,

Jeon So-min,Yang Se-chan

Kshow yang pertama aku kenal. Kawan-kawan yang kenalkan ketika tengah stress menghadapi dunia form 6. Boleh la hilangkan stress dan bergelak ketawa. Walaupun setelah Gary keluar, aku masih setia menonton RM setiap minggu. Ditambah dengan kerenah Jeon So-min dan Yang Se-chan yang lagi menceriakan RM, RM masih lagi bertahan di Korea di kala rancangan yang lain dah ditamatkan.Nak tengok Song Joong-ki zaman muda-muda, boleh la tengok RM episod awal-awal.

2. Family Outing, SBS (2008-2010)    

Yoo Jae-suk , Lee Hyo-ri ,Kim Su-ro, Yoon Jong-shin ,Dae-sung, Kim Jong-kook, Park Ye-jin 

Lee Chun-hee, Park Hae-jin, Park Si-yeon            

                                             

FO ni yang jadi tarikan disebabkan semua cast akan pegi ke pinggir Bandar dan melalui kehidupan di sana. Lari sekejap dari kesibukan Seoul, boleh nampak sisi manusiawi mereka. Kita boleh tahu siapa yang pandai masak, yang tak biasa buat kerja-kerja rumah dan nampak muka bangun tidur dalam keadaan tak mekap, haha..

3. Strong Heart, SBS (2009-2012)

Kang Ho-dong , Lee Seung-gi , Lee Dong-wook , Shin Dong-yup, Boom, Leeteuk,Eunhyuk,Shindong


Kalau nak tahu cerita macam-macam tentang kehidupan sebenar artis Korea, boleh la tengok SH ni. Habis semua cerita didedahkan. Masa ni kegemilangan 2nd gen Kpop macam Super Junior, Girls Generation, Big Bang, 2NE1. Jadi, mereka selalu jadi guest dalam SH ni.Masa ni best, sebab nampak interaksi antara artis berlainan company yang mustahil nak nampak dah sekarang.

4. Star Golden Bell Challenge, KBS (2004-2010)

Ji Suk-jin, Jun Hyun-moo, Lee Chae-young

Format rancangan ni ada dua bahagian tak silap aku. Ada talk show sebab yang jadi guest pun rata-rata 2nd gen Kpop dan bahagian kedua ada kuiz. Jadi, boleh tahu la siapa artis yang bijak-bijak dalam rancangan ini. Kita sebagai penonton pun dapat ilmu baru.

5. The Return of Superman, KBS (2013- sekarang)

Rancangan ni bagus sebab dapat ilmu tentang mendidik anak-anak. Formatnya ayah akan jaga anak-anak selama 2 hari di mana ibu akan dapat me time dan berehat. Boleh nampak kalutnya ayah bila kena jaga anak masing-masing tanpa bantuan isteri masing-masing.

Kebanyakan nya artis popular yang join sebab nak ada masa dengan anak-anak. Aku follow dari awal masa zaman Tablo, Song Il-kook, Lee Hwi-jae dan Uhm Tae-woong. Favourite tentulah triplets Daehan Minguk Manse.Besar dah budak-budak ni.


6. Happy Together, KBS (2001-sekarang)

Yoo Jae-suk, Jun Hyun-moo, Jo Se-ho

Ni rancangan talk show dah lama kat KBS. Aku akan tengok episod yang ada guest best je.


7. Weekly Idol, MBC (2011- sekarang)

Doni Coni mempopularkan rancangan ni. Setiap minggu akan ada artis jadi guest.Bila Doni Coni ada isu dengan crew, mereka tinggalkan WI dan buat rancangan Idol Room pulak. Tapi, still rancangan ni ada peminat sendiri walau dah bertukar MC. Segmen Random Play Dance yang popular dalam WI membuatkan semua idol yang jadi guest dalam ni akan hafal lagu dan dance masing-masing.

Sekarang, MC WI Eunhyuk Super Junior dan Kwanghee Z.E.A pun best, mereka bagi aku berjaya mengacarakan rancangan ni dengan stail mereka tersendiri.




8. Knowing Brothers, JTBC (2015- sekarang)

Kang Ho-dong, Seo Jang-hoon, Kim Young-chul, Lee Soo-geun, Kim Hee-chul,Min Kyung-hoon, Lee Sang-min

KB ni formatnya ala-ala di sekolah. Guest akan datang pakai baju sekolah.Ni pun aku akan tengok episode yang guest aku rasa nak tengok. Antara episod yang mesti tengok yang SUJU jadi guest, memang lawak habis.


9. Radio Star, MBC (2007-sekarang)

Kim Gook-jin, Kim Gura, Ahn Young-mi, Yoon Jong-shin (2008-2019), Cho Kyu-hyun (2012-2017)

Ni rancangan yang laser, semua MC akan kenakan guest. Habis semua cerita panas akan tahu dalam RS ni. Best bagi sesiapa yang suka layan MC yang mulut-mulut laser dalam ni.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...