Aku rasa ini antara benda yang paling aku geram bila baca komen netizen tentang ending Cinta Dalam Sekam. Ramai yang masih melihat Uwan sebagai seorang lelaki yang tak pernah move on daripada cinta pertama dia, Laila. Jadi bila Uwan asyik sebut nama Laila, mereka terus simpulkan, “Itulah, sengsara sebab khianat Imran-Laila.”
![]() |
| SS ep 1, scene ep 1 pun dimulakan dengan Imran-Shafiq |
Aku pula bila fikir balik selepas habis episod 12, rasa macam...
Eh, korang ke yang dementia ni? Hahaha.
Sebab kalau kita betul-betul susun balik perjalanan Syafiq, aku rasa Laila bukan punca utama trauma dan rasa bersalah dia.
Aku nampak ada tiga kemungkinan pembacaan tentang kenapa Uwan tak waras dan asyik mencari Laila.
Pertama, Syafiq tak pernah move on daripada Laila.
Kedua, Syafiq sengsara sebab dia rasa bersalah kerana pernah “mengkhianati” Imran dan Laila.
Ketiga, dan ini yang saya rasa paling kena dengan karakter Syafiq, dia sebenarnya mengalami rasa bersalah yang sangat besar terhadap kematian Imran.
Dan bagi saya, nombor tiga jauh lebih kuat.
Sebab kita kena ingat balik apa yang sebenarnya berlaku.
Syafiq pernah membantu Imran dan Laila melarikan diri. Dia sendiri memilih untuk melepaskan mereka supaya dua orang adiknya itu boleh bina hidup baru bersama. Jadi hubungan dia dengan Laila sebenarnya sudah sampai satu titik yang selesai. Mereka berpisah dalam keadaan baik.Dan of course, imej terakhir Syafiq kepada Imran-Laila ialah abang yang sangat baik yang dah bantu mereka macam-macam memilih kehidupan baru.
Syafiq bukan merampas Laila daripada Imran. Malah dia membantu mereka.
Yang berlaku selepas itu ialah tragedi.
Semasa mereka melarikan diri daripada Jali, Syafiq dibelasah. Imran sebenarnya sudah diberi peluang untuk terus pergi. Hafiz diminta membawa Laila pergi. Tetapi Imran patah balik.Dia kembali untuk selamatkan abangnya.
Dan akhirnya Imran mati di pangkuan Syafiq.
Nah. Kalau saya jadi Syafiq, inilah yang saya rasa akan menghantui saya seumur hidup.
Sebab Syafiq bukan sekadar kehilangan adik.
Dia mungkin akan sentiasa fikir:
Aku yang suruh mereka pergi.
Aku yang sepatutnya lindungi dia.
Imran sudah boleh selamat.
Tapi dia patah balik untuk aku.
Dan akhirnya dia yang mati, sedangkan aku yang hidup.
Ini bukan rasa bersalah kerana “aku ambil Laila daripada Imran”.
Ini lebih kepada survivor's guilt.
Dan bila saya rewatch balik episod 1, saya rasa writer sebenarnya sudah bagi clue tentang perkara ini dengan sangat subtle.
Dalam keadaan Uwan tidak waras, dia menjerit:
“Laila! Kembalilah!”
Kemudian dia tanya:
“Kenapa tak cari dia?”
Dan yang paling menarik bagi saya:
“Dia berada di kilang lama. Dia tengah menunggu saya.”
Pada first watch, kita mungkin fikir, okay, Uwan masih teringat Laila. Sebab itu dia cari Laila.
Tetapi selepas kita tahu keseluruhan kisah Imran-Syafiq-Laila, ayat “dia tengah menunggu saya” tiba-tiba jadi sangat menyakitkan.
Sebab dari sudut memori Imran, memang ada satu perkara yang belum selesai.
Laila sedang menunggu dia kembali.
Imran pergi sekejap untuk mendapatkan duit dan kemudian mahu kembali kepada Laila. Tetapi dia dihalang oleh Dato Sabiri dan dikurung sebelum perkahwinan dengan Amanda.
Jadi dalam kepala Imran, mungkin memang masih ada satu titik memori yang tidak pernah selesai:
Laila sedang menunggu.
Saya rasa inilah sebab writer menggunakan nama Laila sebagai clue besar pada awal cerita. Ia membuat kita fikir Uwan masih terikat dengan cinta pertamanya.
Padahal bila difikirkan semula, Laila mungkin cuma menjadi pintu masuk kepada memori Imran.
Sebab apabila Uwan berada dalam keadaan tidak waras, dia bukan semata-mata “merindui Laila”.
Dia sedang kembali kepada satu bahagian hidup di mana dia ialah Imran, lelaki yang belum sempat kembali kepada Laila.
Dan ini juga membuatkan satu lagi scene dalam episod 12 jadi sangat cantik.
Selepas Syafiq selesai menceritakan semuanya kepada anak-anak dan Sarah, dia masih belum sepenuhnya waras. Dia keluar rumah dan memanggil:
“Im, Ya...”
Saya terus rasa, WAIT.
Sebelum ini dia asyik sebut Laila.
Tetapi sekarang dia kembali kepada panggilan “Ya”, iaitu panggilan Syafiq terhadap Laila.
Dan yang lebih menarik, nama Im muncul dahulu.
Bagi saya, ini seperti writer sedang menunjukkan bahawa pusat identiti Syafiq sudah kembali.
Dia bukan lagi berada sepenuhnya dalam memory Imran yang memanggil Laila sebagai “Laila”.
Dia kembali menjadi Syafiq yang mengingati:
Im dan Ya.
Dua orang adik yang pernah dia cuba selamatkan.
Dan kemudian kita sampai kepada kata-kata terakhirnya.
Ramai penonton menjangkakan Uwan akan menyebut:
“Ya...”
sebab mereka masih membaca Uwan sebagai lelaki yang tidak pernah move on daripada first love dia.
Tetapi tidak.
Dia sebut:
“Amanda, abang datang sayang.”
Dan masa itu saya cuma boleh:
OF COURSE LAH AMANDA.
Hahaha. Dan bagi yang lupa tu, Uwan sendiri sebut di ep 12, selepas mama kamu meninggal, ayah rasa kosong semula. Means, masa dalam keadaan emosi dia tak stabil menyebabkan dia menyebut nama Laila, bukannya nama Laila disebut sepanjang masa, aish geram aku dengan netizen ni pun kan, tapi tak pe, semua ada pendapat masing-masing.
Sebab bagi saya, pada titik itu cerita Syafiq dengan Laila dan Imran sudah selesai.
Dia sudah menutup buku tentang mereka.
Laila bukan lagi cinta yang Syafiq mahu miliki.
Laila ialah adik yang pernah dia sayangi dan cuba selamatkan.
Imran pula ialah orang yang menjadi punca rasa bersalah terbesar dalam hidupnya.
Tetapi Amanda ialah cinta akhir Syafiq.
Perempuan yang menjadi isterinya, ibu kepada anak-anaknya, dan orang yang dia pilih untuk bina kehidupan selepas segala tragedi itu.
Jadi bila Syafiq berkata:
“Amanda, abang datang sayang.”
saya tak rasa itu sekadar romantic ending.
Bagi saya itu ialah identity payoff.
Dia mati sebagai Syafiq.
Bukan sebagai Imran.
Bukan sebagai lelaki yang masih mengejar Laila.
Bukan sebagai lelaki yang terperangkap dalam cinta pertama.
Tetapi sebagai Syafiq, suami Amanda dan ayah kepada anak-anaknya.
Dan mungkin itu yang saya rasa ramai penonton terlepas kerana writer memang sengaja menjadikan “Laila” sebagai clue paling obvious.
Kita semua sibuk bertanya:
“Kenapa Uwan masih sebut Laila?”
Sedangkan soalan yang lebih tepat mungkin:
“Kenapa setiap kali Uwan sebut Laila, dia sebenarnya sedang kembali kepada memori Imran?”
Bila saya fikir macam ni, rasa bersalah Syafiq jadi jauh lebih tragis.
Dia sudah buat perkara yang betul.
Dia sudah membantu Imran dan Laila lari.
Dia sudah melepaskan mereka.
Mereka berpisah dalam keadaan baik.
Tetapi Imran memilih untuk patah balik demi menyelamatkan abangnya.
Dan Syafiq hidup dengan hakikat bahawa orang yang dia cuba selamatkan akhirnya mati ketika menyelamatkan dia pula.
Itulah luka yang saya rasa Syafiq bawa.
Bukan kerana dia tak boleh lepaskan Laila.
Tetapi kerana dia tak pernah boleh lepaskan persoalan:
“Kenapa Imran yang mati, sedangkan aku yang hidup?”
Dan bila Ep 12 akhirnya memberikan Syafiq ruang untuk berhadapan dengan memori Imran, barulah dia boleh kembali kepada dirinya sendiri.
Sebab itu perubahan kecil daripada “Laila” → “Ya” → “Im” → “Amanda” bagi saya bukan random.
Itu macam perjalanan emosi Syafiq sendiri.
Dan honestly, semakin aku rewatch drama ni, semakin aku rasa writer memang sangat kedekut dengan dialog. Hahaha. Tapi bagi penonton yang suka thrill meneka macam ni, memang brilliant. Bilamana drama Melayu dah mula gunakan teori psikologi dalam menjelaskan perubahan watak.
Ke aku yang banyak sangat tengok Kdrama dan Cdrama sampai boleh terfikir jauh, haha. Lantaklah nama pun teori kan, kalau writer kata betul, aku ok, kalau tak, nak buat macam mana. Aku akan teruskan meneka lagi.
![]() |
| Masa scene bergelak ketawa, aku rasa ni Haidar-Amir, bukan Syafiq-Imran. Macam obvius nau gelak tu. |



0 comments:
Post a Comment