Thursday, August 27, 2026

Cinta dalam Sekam: Rupanya, Ada Cerita yang Membuat Kita Rasa Cukup

 Saya menangis selepas episod 12 tamat. Cuma, rasa yang tinggal ialah sebak menikam hati.Tetapi peliknya, saya tidak mahu mengubah apa-apa.Ada perkara yang menyakitkan, ada keputusan watak yang membawa akibat yang saya sendiri tidak mahu, dan ada kehilangan yang kekal sebagai kehilangan. Tetapi saya tidak tertanya-tanya kenapa cerita ini tidak memilih jalan lain.Saya cuma rasa cukup.Dan saya rasa sudah lama saya tidak menamatkan sebuah drama dengan perasaan seperti ini.



1. Pembukaan — perasaan selepas episod 12

Selepas puas menangis, rasa sebak tu ada, tapi rasa sebak yang puas, inilah kehidupan. Aku suka tema “maafkan diri sendiri” disebut di episode akhir ni,

 2. Expectation vs apa yang CDS akhirnya beri

Aku mula nak tengok disebabkan latar 1988 dan yes sedikit sebanyak pengaruh nama Amir Ahnaf dan Siti Khadijah. Tapi akhirnya, aku menemui lakonan Haidar Hasanudin yang bagi aku berjaya menyampaikan watak dengan baik. Dato Razak Ahmad juga berjaya menyampaikan emosi watak sebagai Uwan.Dan CDS bagi aku berjaya melebihi expectation aku terhadap drama Melayu.Bagi aku yang kuota drama Melayu setahun tu hanya 1-2 saja, haha🤣🤣. CDS berjaya memberikan rasa puas dari pelbagai aspek.

 3. Plot yang tahu ke mana ia hendak pergi

Cerita ni PLOT-DRIVEN dan CHARACTER DRIVEN tu seiring, susah ya nak buat untuk drama. Plot asal kita nampak Shafiq dengan Imran rapat adik-abang, kemudian mereka berdua suka Laila, tapi Laila pilih Imran. Plot pula digerakkan berselang seli 1988 dan sekarang apabila watak Uwan seorang lelaki tua yang dementia memanggil nama Laila, dan penonton meneka siapakah Uwan, ini dah cukup menarik sebagai misteri untuk penonton kekal hingga akhir, dan yes produksi berjaya tak biarkan terselit mana-mana klu, sehinggakan sampai episode 11, penonton masih 50-50 siapakah  Uwan, its brilliant.

Tapi aku suka character-driven turut menggerakkan cerita ini. Bukan sekadar watak yang tiada karakter tersendiri hanya sekadar ada untuk plot.Pilihan Laila memilih Imran, pilihan Shafiq untuk mengkhianati Imran-Laila dan kemudian menebus semula di episode akhir, dan pilihan Imran untuk balik menyelamatkan abangnya. Ini menjadikan cerita ini cukup rencah. Bagi aku, penulis berjaya menjadikan pilihan Imran untuk balik menyelamatkan Shafiq mengembalikan maruahnya di mata penonton.
Dalam cerita ni, tak semudah kita letak label baik dan jahat terhadap watak utama, semua ada sebab sendiri dalam membuat pilihan. Ini menjadikan CHARACTER-DRIVEN dan plot cerita ini bergerak seiring.

4. SHOW AND TELL SEIRING

Ini pun susah ya nak bagi bergerak sekali dalam cerita. Aku bagi contoh, penonton dah diberikan watak klu Uwan melalui Shafiq muda menerusi emosinya dan dialog seperti “aku janji” aku buat” dan POV anak-anak Uwan bahawa “ayah akan pastikan mama..” Kemudian, Dato Razak Ahmad sebagai Uwan ketika tua menyebut semula dalam dialog “mama kamu beri kehidupan semula kepada ayah”. Saling melengkapi show dgn tell cerita ni untuk beri klu memang Shafiq-Amanda ada perkahwinan yang bahagia, tak perlu pun letak montaj atau “mereka bahagia selepas kahwin” bla bla kat skrin.😂

 

5. Continuity watak — antara kekuatan terbesar CDS

Sangat synchronise perwatakan muda dan tua walaupun dilakonkan orang berbeza. Konsisten kedua-dua watak di mana emosi stabil semasa biasanya/normal, dan emosi sedikit berkecamuk ketika melibatkan Imran-Laila. Watak Shafiq muda yang ditunjukkan menjaga semua orang diterjemahkan Uwan ketika tua dengan menyebut “Ayah menyusahkan Man ke, ayah tak nak jadi beban”.😭😭😭

6. Dialog yang bukan sekadar cantik, tetapi konsisten dengan watak

Dialog Shafiq muda ialah literally janji → buat → takkan → pastikan → tak pernah.

Dan kita dapat lihat masa default atau masa marah, dia ambil tanggungjawab terhadap tindakannya. Dan masa ep 12, “aku takkan bawak lari Laila, Im”, memang Shafiq tak bawak lari Laila.

7. Persembahan pelakon

Scene Imran-Shafiq di episode akhir membuatkan aku rasa titik cerita ini ialah hubungan abang-adik tu. Kedua-dua pelakon berjaya menyampaikan emosi dengan baik, tipulah tak keluarkan tisu masa episode akhir ni, haha.Dan pujian kepada Haidar kerana berjaya menyampaikan lakonan dengan  nada perubahan nada. Ada beza nada tegas ketika berjanji, tone drop ketika Amanda bertanyakan ada family tak, emosi berkecamuk ketika konflik Laila–Imran, fasa kemurungan selepas Imran meninggal dan perubahan expression mula tersenyum dengan Amanda muncul di episode akhir.

Tentang titik luka Uwan(Shafiq) saya dah ceritakan di sini:1.https://suarasfw.blogspot.com/2026/08/cinta-dalam-sekam-rupanya-bukan-laila.html.

2. https://suarasfw.blogspot.com/2026/08/cinta-dalam-sekam-rupanya-semua-watak.html

 

 8. Imran–Laila–Shafiq bukan sekadar cinta tiga segi

Relationship mereka membawa tanggungjawab, persahabatan, khianat, pilihan, rasa bersalah dan kemurungan. Terutama Imran: dia bukan hanya lelaki yang dapat Laila; kematiannya selepas berpatah balik menyelamatkan Shafiq mengubah pusat kehidupan Shafiq. Saya suka apabila Imran mendoakan Amanda, “percayalah, aku doakan awak dapat jodoh yang sayang, hargai dan jaga awak, “ dan ironinya orang yang dia patah balik nak selamatkan tu lah abang yang dia percaya selama ini ,akhirnya menjadi jodoh Amanda.🥰

 9. Pilihan dan kesan — terutama Imran–Laila

Bagi saya, kematian Imran bukanlah menyedihkan, Itu ialah hasil pilihannya sendiri. Cuma Shafiq sudah mengikat rasa bersalah disebabkan kematian Imran sehingga ke tua sedangkan dia sudah pun memberi dua pilihan kepada mereka. Dan saya suka cerita menyebut siap-siap umur Imran-Laila sekitar 21 tahun dan umur Shafiq pertengahan 20-an, Itu memberikan justifikasi di mana pilihan yang dibuat ketiga watak berkait dengan umur dan pengalaman hidup. Untuk Laila, anak kampung yang impian untuk menjengah dunia , logik lah untuk lebih tertarik dengan Imran yang kebetulan berkongsi minat sama dalam seni.

 

 10. Amanda bukan pengganti Laila

Amanda ialah  orang pertama melihat Shafiq sebagai manusia, bertanyakan ada keluarga ke tidak, memberi isyarat “siapa jaga abang selama ni”, sebab 2 kali Amanda menyebut “abang dah buat macam-macam untuk keluarga Imran. Dan watak Uwan Ketika tua menyebut, Amanda lah memberikan kehidupan kepadanya selepas tragedi. Dapat dilihat watak Uwan berkata jiwanya rasa kosong semula selepas kematian isterinya. Ini bererti Amanda sudah menjadi kehidupan baru untuk Shafiq. Dan of course lah saya suka part ni, “Amanda, abang datang sayang.” Sewaktu Uwan hendak menghembuskan nafas terakhir.Tak perlu pertandingan cinta Laila vs Amanda; dua hubungan itu mempunyai tempat berbeza dalam kehidupan Shafiq.

 

 11. Anak-anak dan cucu — pengakhiran kepada seluruh kehidupan Shafiq

“Ayah ni menyusahkan Man ke?”

“Ayah tak nak jadi beban.”

“Ayah bukan beban kami.”

Anak-anak sebak ketika menjawab menjadikan scene itu terasa raw. Menjaga Uwan mungkin berat, tetapi Uwan bukan beban. Dan akhirnya lelaki yang menjaga semua orang mendapat keluarga yang tahu menjaganya kembali.

 

 12. Casting anak-anak Uwan — sebab hilang 0.5

Mula-mula aku mengira, eh macam tak tally umur ni. Tapi ketika tiba di tengah cerita,melihat banyak scene Uwan dan anak-anak perlukan emosi yang sangat sebak, yes aku akui, pelakon lebih berumur lebih mudah menyampaikan emosi itu dengan baik. Di episode 12, bagaimana ditunjukkan anak-anak mencarinya dan bawak balik, “jom balik ayah” sungguh sebak.😭😭 Emosi mereka berjaya meyakinkan saya yang mereka keluarga bahagia dan tidak merasakan menjaga ayah sebagai beban.

 

 13. Watak lain mendapat tempat yang cukup

Tiada watak yang membazir dalam cerita ni. Semua mereka penting dalam membantu menggerakkan plot atau memberi kesan terhadap tindakan watak lain. Di akhir cerita menunjukkan kehidupan diteruskan. Dan saya suka scene anak-anak Uwan menyerahkan barang tinggalan Laila dan Imran kepada Sarah menggambarkan bermula lah kehidupan baru.

 14. Kenapa 9.5/10

Plot  + dialog +  kesinambungan plot dan watak + pengarahan+ persembahan+ set dan outfit era 80-an + ending semuanya saling menyokong. Jarang aku jumpa cerita Melayu sekemas ini, Tahniah kepada produksi  Global Film Station Sdn. Bhd. yang diarahkan oleh Feroz Kader dan skrip ditulis Eenaz Mokhtar berjaya menggarap naskhah hebat ini. Berani saya katakan, ini drama bersiri Melayu terbaik sepanjang 10 tahun. Tolak 0.5 terutamanya pada umur casting anak-anak Uwan, tapi penyampaian emosi dan dinamik hubungan anak-anak Uwan sudah berjaya buat saya lupa tentang umur mereka.

15. Kenapa ending ini terasa CUKUP

Bukan semua orang mendapat apa yang mereka mahu;kehilangan tetap kehilangan; pilihan mempunyai akibat;tetapi setiap hubungan sampai ke tempatnya dan setiap watak mendapat penutup yang memuaskan.Sedihnya peristiwa tidak semestinya cerita belum selesai.

Dalam kes CDS ini, bukan HAPPY ENDING, SAD ENDING, OPEN ENDING, saya namakan PUAS dan CUKUP. Tak ada apa perlu diterangkan lagi, semuanya sudah dijawab di hujung cerita. Rupanya, ada cerita yang tidak perlu memberikan kita segala-galanya untuk membuat kita rasa cukup. Ia cuma perlu tahu apa yang perlu diberikan, apa yang perlu dilepaskan, dan bila waktunya untuk berhenti.


Dan Cinta Dalam Sekam berhenti tepat ketika saya sudah tidak meminta apa-apa lagi.

 


Monday, August 24, 2026

Cinta Dalam Sekam: Rupanya Semua Watak Ada Sebab Mereka Sendiri:Shafiq

 Shafiq — Lelaki yang Tahu Menjaga Semua Orang, Kecuali Dirinya Sendiri

Ketika drama ini nak hampir tamat, saya masih geram dengan label netizen yang asyik keluar baran/khianat=Shafiq. Sebab bagi saya Shafiq punya mode default ialah menjaga, kemudian berlaku konflik menyebabkan ada perbezaan emosi ketika mode default dan ketika emosi rapuh, yang menyebabkan dia tak kelihatan seperti asal.



Tetapi semakin saya fikirkan semula perjalanan Shafiq, saya rasa perubahan itu sebenarnya bermula jauh sebelum dia mengambil identiti Imran.Shafiq menjadi “bukan dirinya sendiri” kerana terlalu lama menjadi versi paling default dirinya.

Dan default Shafiq cuma satu:

Jaga orang.

Bahasa cinta Shafiq cuma satu: jaga

Kalau diperhatikan, Shafiq bukan watak yang banyak bercakap tentang emosinya sendiri.

Dia lebih banyak melakukan sesuatu

Ada masalah, dia selesaikan.Ada orang perlukan pertolongan, dia bantu. Laila dalam kesusahan, dia ada. Imran perlukan dia, dia jadi abang.Ada bahaya, dia fikir apa yang perlu dibuat dahulu. 

Dan saya dengan adik yang menonton, Shafiq ni tak ada family ke? Sibuk sangat ke sana sini.🤣🤣

Mungkin sebab itu juga apabila Shafiq mencintai Laila, cinta itu keluar dalam bahasa yang paling dia faham:menjaga.

Dan saya rasa ini menjelaskan kenapa rejection Laila begitu sukar untuk dia terima.Bukan semata-mata kerana ego seorang lelaki yang cintanya ditolak.Bayangkan kalau sepanjang hidup, cara kita berkata aku sayang kau ialah dengan menjaga seseorang.

Kita tak pandai sangat berkata:

Aku perlukan kau.
Aku takut kehilangan kau.
Aku kecewa.
Aku cemburu.
Aku terluka.

Sebaliknya kita berkata:Biar aku uruskan. Dan hipotesis saya lagi, disebabkan dia sudah tiada family la, dia faham sayang=jaga. Dan dia tiada contoh family yang boleh dia nampak ada bahasa cinta/sayang lain selain jaga.

Kemudian suatu hari orang yang kita sayang berkata, secara asasnya: Aku tidak memilih kau.

Shafiq mungkin tidak mempunyai bahasa lain untuk memahami penolakan itu selain:Tak cukup lagi ke semua yang aku dah buat?Bukan bermaksud Laila berhutang cinta kepadanya. Tidak.

Tetapi dari sudut Shafiq, dia sudah memberikan bentuk cinta terbesar yang dia tahu.

Dan buat pertama kali, menjaga seseorang tidak cukup untuk membuatkan orang itu memilihnya.

Dia tak sempat pun patah hati dengan betul. 

Di sinilah saya rasa pembacaan Shafiq sebagai sekadar “lelaki yang baran selepas perempuan pilih adiknya” menjadi terlalu mudah. Sebab lihat semula apa yang Shafiq buat selepas Laila tidak memilihnya.Dia tak sempat duduk menangisi nasib. 

Laila baru sahaja menolaknya. Laila memilih Imran. Kemudian berlaku tragedi apabila Laila tidak sengaja menyebabkan kematian Sudin, abang iparnya yang mahu menjualnya.

Dan apa Shafiq buat?

Shafiq kembali kepada default mode.

Ada masalah.

Jadi dia cuba menyelesaikannya.

Malah dia keluar mencari kereta untuk membantu Imran dan Laila melarikan diri.

Ini lelaki yang baru sahaja mengetahui perempuan yang dicintainya memilih adiknya, tetapi apabila kedua-duanya berada dalam bahaya, tindak balas pertamanya masih:Aku kena tolong. 

Aku be like, boleh je dia tak tolong kan, tapi naluri pertama dia ialah tetap tolong mereka.

Masalahnya, apabila dia kembali—

Imran dan Laila sudah pergi.

Tanpa menunggunya. Tanpa meninggalkan pesan. Dan saya rasa di sinilah kemarahan Shafiq perlu dibaca dengan lebih daripada satu emosi.

Ya, mungkin ada cemburu.

Ya, dia patah hati.

Tetapi mungkin ada juga sesuatu yang jauh lebih dalam:

Kenapa korang tak tunggu aku?
Kenapa korang tak beritahu aku?
Kenapa korang tak percaya aku akan bantu?

Dan mungkin soalan yang Shafiq sendiri tidak tahu bagaimana hendak tanyakan:

Kalau korang berdua tak perlukan aku, aku ni siapa?

Shafiq tahu bagaimana menjadi orang yang diperlukan

Saya rasa inilah perkara paling menyedihkan tentang Shafiq.

Dia tahu bagaimana hendak diperlukan.Tetapi dia tidak tahu bagaimana hendak memerlukan orang lain.

Kita kena ingat juga bahawa Shafiq tidak benar-benar mempunyai sebuah keluarga atau “rumah” yang boleh dia pulang seperti orang lain.

Jadi menjaga orang bukan sekadar sifat baik Shafiq.

Ia mungkin sudah menjadi sebahagian daripada identitinya.

Aku berguna kerana aku boleh menjaga.

Sebab itu apabila berlaku krisis, dia sangat functional. Tetapi menjadi functional tidak sama dengan menjadi okay.Default mode dia tetap boleh bekerja dengan normal, tapi bila melibatkan Laila-Imran, emosinya dah mula kacau bilau dan terus dilabel baran oleh netizen.

Dan saya rasa sepanjang cerita, Shafiq hampir tidak pernah mempunyai ruang untuk memproses satu emosi sebelum masalah seterusnya datang.

Ditolak Laila.

Belum sempat proses.

Imran dan Laila lari.

Belum sempat proses.

Kemudian datang tragedi yang jauh lebih besar.

Imran mati.

Dan lebih buruk lagi, Imran mati selepas berpatah balik untuk menyelamatkan Shafiq.

Apabila orang yang menjaga akhirnya perlu diselamatkan

Di sinilah seluruh dunia emosi Shafiq diterbalikkan.

Sepanjang hidupnya, Shafiq ialah orang yang menjaga.

Tetapi pada saat paling penting—

Imran kembali untuknya.

Dan Imran mati.

Kalau identiti paling asas Shafiq selama ini ialah:

Aku sepatutnya menjaga orang yang aku sayang,

bagaimana dia hendak hidup dengan hakikat bahawa:

orang yang aku sepatutnya jaga mati kerana kembali untuk aku?

Sebab itu saya semakin sukar membaca apa yang berlaku kepada Shafiq selepas itu sebagai kisah lelaki yang tidak boleh move on daripada cinta pertamanya.Laila memang sebahagian daripada lukanya.Tetapi Imran menyentuh sesuatu yang lebih dalam.

Imran menghancurkan identiti Shafiq sebagai penjaga.

Shafiq gagal menyelamatkan orang yang selama ini dia rasa bertanggungjawab untuk jaga.Dan kemudian dia melakukan sesuatu yang sangat tragik.Dia terus hidup.Tetapi bukan sepenuhnya sebagai Shafiq.

Shafiq tidak sembuh. Shafiq berfungsi.

Saya rasa ini beza yang penting.

Selama bertahun-tahun selepas tragedi itu, Shafiq masih boleh meneruskan kehidupan.

Dia boleh menjaga orang.

Dia boleh membina keluarga.

Dia boleh menjadi ayah.

Dia boleh menjadi Uwan.

Dari luar, seseorang yang boleh terus menjalani hidup mungkin nampak seperti seseorang yang sudah selesai dengan masa lalunya.

Tetapi berfungsi bukan semestinya sembuh.

Shafiq sangat pandai melakukan perkara yang sama seperti sejak muda:

letakkan apa yang perlu dibuat di hadapan,
letakkan apa yang dia rasa di belakang.

Sebab itu saya tertarik dengan dua keadaan Uwan yang kita lihat pada usia tuanya.Apabila dia berada dalam keadaan tidak waras atau keliru, kita nampak kemarahan dan behaviour yang menyebabkan sesetengah penonton melihat Shafiq sebagai seorang yang baran.

Tetapi apabila Uwan waras?

Dia boleh bercakap dengan baik dengan anak dan cucunya.

Malah antara perkara yang difikirkannya ialah dia tidak mahu menjadi beban kepada mereka. Dan di episod 4:
"Ayah ni menyusahkan Man ke? "Ayah tak nak jadi beban" "Ayah bukan beban kami"😭😭

Literally Shafiq yang biasa menjaga tak nak jadi beban orang. Tetapi apabila fikirannya kembali jelas, naluri yang keluar masih sama: Jangan susahkan orang kerana aku.

Shafiq muda mahu menjaga orang.

Shafiq tua tidak mahu orang terpaksa menjaganya.

Bahasanya masih sama.

Sebab itu saya rasa tidak tepat untuk menjadikan “baran” sebagai pusat personaliti Shafiq.

Shafiq bukan manusia yang tidak mempunyai kemarahan.

Dia jelas boleh marah.

Tetapi marah bukan bahasa default Shafiq. Menjaga ialah bahasa defaultnya.

Dan sebab itu bilamana muncul klu pov anak-anak Uwan tentang perkahwinan Shafiq dan Amanda, ialah:

"Ayah jaga mama macam permaisuri" 

Perkataan permaisuri literally bermaksud keputusan boleh diajak berbincang tapi masa sama dijaga dengan sepenuh hati.

"Ayah akan pastikan mama sentiasa cantik.

Word "pastikan" tu tersangat lah Shafiq. Kalau perhatikan dialog Shafiq bila sesiapa minta tolong ialah, "Saya janji, saya buat." Bukan macam "saya cuba, saya tengoklah dulu, 😂" bila pastikan bermakna benda tu kena ada effort berterusan dan berganda. 

Saya puji writer menggunakan perkataan perbuatan konkrit yang penonton boleh visualkan dan disertai dengan kata penegas "pasti", auto di minda kita terbayang eh, takde orang lain boleh penuhi description ni kecuali Shafiq. Bermakna character continuity drama ni ditulis dengan baik di mana jarang dapat dilakukan dalam drama Melayu. 


"Dan ketika mama sakit, ayah tak pernah tinggalkan mama, tak pernah". masa ni nada Shariman dah berubah sebak. Untuk seorang Shafiq yang hidupnya hanya kerja menguruskan kilang, untuk akhirnya berubah tidak meninggalkan isteri ketika sakit, tak kan tak faham lagi Amanda tu dah jadi cinta matinya oii netizen?😒, ok untuk fail cinta Shafiq-Amanda ni kena bukak post baru.😂

Perkataan "jaga" ni je la Shafiq reti guna untuk
gambarkan jodoh=jaga.😂




Dan tanpa sedar doa jodoh dah ada depan mata.😊


Jadi, bila sebenarnya Shafiq menjadi “bukan dirinya sendiri”?

Mungkin bukan ketika dia mula dipanggil Imran. Mungkin jauh lebih awal.

Setiap kali Shafiq berkata: orang lain dahulu,sedikit demi sedikit dia meninggalkan dirinya sendiri di belakang.Dia tidak sempat menjadi lelaki yang patah hati kerana ada orang yang perlu diselamatkan.Dia tidak sempat menjadi abang yang terasa ditinggalkan kerana ada masalah yang perlu diselesaikan.Dia tidak sempat berkabung sebagai Shafiq kerana rasa bersalah terhadap Imran terlalu besar.

Dan akhirnya, lelaki yang sepanjang hidupnya begitu sibuk memastikan semua orang baik-baik sahaja itu tidak pernah benar-benar bertanya:

Shafiq sendiri baik-baik sahaja ke?

Dan ironinya, pengakhiran manis buat Shafiq yang sibuk menjaga semua orang semasa mudanya akhirnya dijaga dengan baik oleh anak-anak dan cucunya. Dan Amanda lah memberikan rumah dan keluarga kepadanya. 

Mungkin sebab itu ayat Haidar dalam BTS tadi terasa jauh lebih berat selepas cerita tamat.

Shafiq memang akhirnya menjadi seseorang yang bukan dirinya sendiri.

Secara literal, dia menjadi Imran.

Tetapi secara emosi, mungkin Shafiq sudah lama kehilangan dirinya sebelum nama itu bertukar.Itu menyebabkan lebih sukar untuk dia memaafkan diri sendiri.

Kerana Shafiq tahu bagaimana menjaga semua orang. 

Kecuali dirinya sendiri.

Sunday, August 23, 2026

Cinta Dalam Sekam: Rupanya Bukan Laila yang Shafiq Tak Boleh Lepaskan

 Aku rasa ini antara benda yang paling aku geram bila baca komen netizen tentang ending Cinta Dalam Sekam. Ramai yang masih melihat Uwan sebagai seorang lelaki yang tak pernah move on daripada cinta pertama dia, Laila. Jadi bila Uwan asyik sebut nama Laila, mereka terus simpulkan, “Itulah, sengsara sebab khianat Imran-Laila.”

SS ep 1, scene ep 1 pun dimulakan dengan Imran-Shafiq

Aku pula bila fikir balik selepas habis episod 12, rasa macam...

Eh, korang ke yang dementia ni? Hahaha.

Sebab kalau kita betul-betul susun balik perjalanan Syafiq, aku rasa Laila bukan punca utama trauma dan rasa bersalah dia.

Aku  nampak ada tiga kemungkinan pembacaan tentang kenapa Uwan tak waras dan asyik mencari Laila.

Pertama, Syafiq tak pernah move on daripada Laila.

Kedua, Syafiq sengsara sebab dia rasa bersalah kerana pernah “mengkhianati” Imran dan Laila.

Ketiga, dan ini yang saya rasa paling kena dengan karakter Syafiq, dia sebenarnya mengalami rasa bersalah yang sangat besar terhadap kematian Imran.

Dan bagi saya, nombor tiga jauh lebih kuat.

Sebab kita kena ingat balik apa yang sebenarnya berlaku.

Syafiq pernah membantu Imran dan Laila melarikan diri. Dia sendiri memilih untuk melepaskan mereka supaya dua orang adiknya itu boleh bina hidup baru bersama. Jadi hubungan dia dengan Laila sebenarnya sudah sampai satu titik yang selesai. Mereka berpisah dalam keadaan baik.Dan of course, imej terakhir Syafiq kepada Imran-Laila ialah abang yang sangat baik yang dah bantu mereka macam-macam memilih kehidupan baru.

Syafiq bukan merampas Laila daripada Imran. Malah dia membantu mereka.

Yang berlaku selepas itu ialah tragedi.

Semasa mereka melarikan diri daripada Jali, Syafiq dibelasah. Imran sebenarnya sudah diberi peluang untuk terus pergi. Hafiz diminta membawa Laila pergi. Tetapi Imran patah balik.Dia kembali untuk selamatkan abangnya.

Dan akhirnya Imran mati di pangkuan Syafiq.

Nah. Kalau saya jadi Syafiq, inilah yang saya rasa akan menghantui saya seumur hidup.

Sebab Syafiq bukan sekadar kehilangan adik.

Dia mungkin akan sentiasa fikir:

Aku yang suruh mereka pergi.

Aku yang sepatutnya lindungi dia.

Imran sudah boleh selamat.

Tapi dia patah balik untuk aku.

Dan akhirnya dia yang mati, sedangkan aku yang hidup.

Ini bukan rasa bersalah kerana “aku ambil Laila daripada Imran”.

Ini lebih kepada survivor's guilt.

Dan bila saya rewatch balik episod 1, saya rasa writer sebenarnya sudah bagi clue tentang perkara ini dengan sangat subtle.

Dalam keadaan Uwan tidak waras, dia menjerit:

“Laila! Kembalilah!”

Kemudian dia tanya:

Kenapa tak cari dia?”

Dan yang paling menarik bagi saya:

Dia berada di kilang lama. Dia tengah menunggu saya.”

Pada first watch, kita mungkin fikir, okay, Uwan masih teringat Laila. Sebab itu dia cari Laila.

Tetapi selepas kita tahu keseluruhan kisah Imran-Syafiq-Laila, ayat “dia tengah menunggu saya” tiba-tiba jadi sangat menyakitkan.

Sebab dari sudut memori Imran, memang ada satu perkara yang belum selesai.

Laila sedang menunggu dia kembali.

Imran pergi sekejap untuk mendapatkan duit dan kemudian mahu kembali kepada Laila. Tetapi dia dihalang oleh Dato Sabiri dan dikurung sebelum perkahwinan dengan Amanda.

Jadi dalam kepala Imran, mungkin memang masih ada satu titik memori yang tidak pernah selesai:

Laila sedang menunggu.

Saya rasa inilah sebab writer menggunakan nama Laila sebagai clue besar pada awal cerita. Ia membuat kita fikir Uwan masih terikat dengan cinta pertamanya.

Padahal bila difikirkan semula, Laila mungkin cuma menjadi pintu masuk kepada memori Imran.

Sebab apabila Uwan berada dalam keadaan tidak waras, dia bukan semata-mata “merindui Laila”.

Dia sedang kembali kepada satu bahagian hidup di mana dia ialah Imran, lelaki yang belum sempat kembali kepada Laila.

Dan ini juga membuatkan satu lagi scene dalam episod 12 jadi sangat cantik.

Selepas Syafiq selesai menceritakan semuanya kepada anak-anak dan Sarah, dia masih belum sepenuhnya waras. Dia keluar rumah dan memanggil:

“Im, Ya...”

Saya terus rasa, WAIT.

Sebelum ini dia asyik sebut Laila.

Tetapi sekarang dia kembali kepada panggilan “Ya”, iaitu panggilan Syafiq terhadap Laila.

Dan yang lebih menarik, nama Im muncul dahulu.

Bagi saya, ini seperti writer sedang menunjukkan bahawa pusat identiti Syafiq sudah kembali.

Dia bukan lagi berada sepenuhnya dalam memory Imran yang memanggil Laila sebagai “Laila”.

Dia kembali menjadi Syafiq yang mengingati:

Im dan Ya.

Dua orang adik yang pernah dia cuba selamatkan.

Dan kemudian kita sampai kepada kata-kata terakhirnya.

Ramai penonton menjangkakan Uwan akan menyebut:

“Ya...”

sebab mereka masih membaca Uwan sebagai lelaki yang tidak pernah move on daripada first love dia.

Tetapi tidak.

Dia sebut:

“Amanda, abang datang sayang.”

Dan masa itu saya cuma boleh:

OF COURSE LAH AMANDA.

Hahaha. Dan bagi yang lupa tu, Uwan sendiri sebut di ep 12, selepas mama kamu meninggal, ayah rasa kosong semula. Means, masa dalam keadaan emosi dia tak stabil menyebabkan dia menyebut nama Laila, bukannya nama Laila disebut sepanjang masa, aish geram aku dengan netizen ni pun kan, tapi tak pe, semua ada pendapat masing-masing.

Sebab bagi saya, pada titik itu cerita Syafiq dengan Laila dan Imran sudah selesai.

Dia sudah menutup buku tentang mereka.

Laila bukan lagi cinta yang Syafiq mahu miliki.

Laila ialah adik yang pernah dia sayangi dan cuba selamatkan.

Imran pula ialah orang yang menjadi punca rasa bersalah terbesar dalam hidupnya.

Tetapi Amanda ialah cinta akhir Syafiq.

Perempuan yang menjadi isterinya, ibu kepada anak-anaknya, dan orang yang dia pilih untuk bina kehidupan selepas segala tragedi itu.

Jadi bila Syafiq berkata:

“Amanda, abang datang sayang.”

saya tak rasa itu sekadar romantic ending.

Bagi saya itu ialah identity payoff.

Dia mati sebagai Syafiq.

Bukan sebagai Imran.

Bukan sebagai lelaki yang masih mengejar Laila.

Bukan sebagai lelaki yang terperangkap dalam cinta pertama.

Tetapi sebagai Syafiq, suami Amanda dan ayah kepada anak-anaknya.

Dan mungkin itu yang saya rasa ramai penonton terlepas kerana writer memang sengaja menjadikan “Laila” sebagai clue paling obvious.

Kita semua sibuk bertanya:

“Kenapa Uwan masih sebut Laila?”

Sedangkan soalan yang lebih tepat mungkin:

“Kenapa setiap kali Uwan sebut Laila, dia sebenarnya sedang kembali kepada memori Imran?”

Bila saya fikir macam ni, rasa bersalah Syafiq jadi jauh lebih tragis.

Dia sudah buat perkara yang betul.

Dia sudah membantu Imran dan Laila lari.

Dia sudah melepaskan mereka.

Mereka berpisah dalam keadaan baik.

Tetapi Imran memilih untuk patah balik demi menyelamatkan abangnya.

Dan Syafiq hidup dengan hakikat bahawa orang yang dia cuba selamatkan akhirnya mati ketika menyelamatkan dia pula.

Itulah luka yang saya rasa Syafiq bawa.

Bukan kerana dia tak boleh lepaskan Laila.

Tetapi kerana dia tak pernah boleh lepaskan persoalan:

“Kenapa Imran yang mati, sedangkan aku yang hidup?”

Dan bila Ep 12 akhirnya memberikan Syafiq ruang untuk berhadapan dengan memori Imran, barulah dia boleh kembali kepada dirinya sendiri.

Sebab itu perubahan kecil daripada “Laila” → “Ya” → “Im” → “Amanda” bagi saya bukan random.

Itu macam perjalanan emosi Syafiq sendiri.

Dan honestly, semakin aku rewatch drama ni, semakin aku  rasa writer memang sangat kedekut dengan dialog. Hahaha. Tapi bagi penonton yang suka thrill meneka macam ni, memang brilliant. Bilamana drama Melayu dah mula gunakan teori psikologi dalam menjelaskan perubahan watak.

Ke aku yang banyak sangat tengok Kdrama dan Cdrama sampai boleh terfikir jauh, haha. Lantaklah nama pun teori kan, kalau writer kata betul, aku ok, kalau tak, nak buat macam mana. Aku akan teruskan meneka lagi.


Masa scene bergelak ketawa, aku rasa ni Haidar-Amir, bukan Syafiq-Imran.
Macam obvius nau gelak tu.



Natural gila scene borak Imran-Shafiq ni, bila rewatch balik, memang hubungan
Imran-Shafiq abang-adik ni yang ditekankan sebenarnya. Tapi nak wat cane, orang Melayu suka 
tema cinta, itu yang nampak cinta tiga segi, padahal boleh jadi ada dua segi empat tepat: Imran-Laila dan Syafiq-Amanda.😂


Saturday, August 22, 2026

Cinta dalam Sekam: Rupanya Saya Bukan Meneka Twist , Saya Meneka Shafiq

 Setelah lama saya tak update blog, drama Cinta dalam Sekam berjaya buat saya nak update blog semata-mata nak rant. Saya masih tak percaya saya boleh terfikir teori ini sebelum episod 12. 😂


Masa minggu episod 5-6, Amir Ahnaf pernah tulis di Threads, :

“ UWAN TU IMRAN…”


Ramai yang anggap dia bergurau atau troll. Bila episod 11 keluar pula, anak-anak Uwan sendiri berkata, “Tapi ayah kami Imran,” dan ketika itu memang ada penonton yang terus yakin bahawa Uwan ialah Imran.

Pada masa yang sama, ada juga teori bahawa Uwan sebenarnya Shafiq yang menukar identiti. Saya sendiri pada awalnya tak ambil serius pun teori itu.

Sampailah selepas habis episod 11, saya ternampak BTS interview Haidar Hasanudin baru release di ott Viu.  Saya saja layan sebab production keluarkan video pengalaman Haidar sepanjang berlakon dalam CDS.

Kemudian di hujung video, Haidar berkata:

“Saya Haidar, memegang watak Shafiq Zulkarnain…” lihat di minit 2:05


Saya terus:

Wait.

Kenapa saya rasa macam tak familiar nama penuh Shafiq disebut. Sepanjang 11 episod, kita tak pernah pun diberitahu nama penuh Shafiq.

Dan entah macam mana otak saya terus sambung dengan teori Shafiq menukar identiti.

Saya fikir dan meletakkan diri saya:

“Kalau betul Shafiq yang tukar identiti dan hidup sebagai Imran, macam mana dia akan pilih nama?”

Kemudian saya fikir lagi:

Shafiq Zulkarnain.

Kalau dia mahu mengambil nama Imran, saya rasa dia tak semestinya akan membuang seluruh identiti lamanya. Dia mungkin mengambil nama Imran, tetapi masih mengekalkan Zulkarnain.

Jadi saya terfikir:

Imran Zulkarnain.

Masa tu pun saya fikir saja-saja. Saya tak ambil serius. 😂

Kemudian episod 12 keluar.

Dan Shafiq(Uwan) sendiri berkata:

“Nama aku Imran Zulkarnain bin Mansor.”

Kemudian:

“Nama aku dulu Shafiq Zulkarnain bin Mansor.”

Saya:

……WAIT. SERIUS LAH?!

Yang membuatkan saya paling kagum bukanlah sebab saya “teka twist”.

Saya sebenarnya bukan meneka apa yang writer akan buat.

Saya cuba fikir:

“Kalau aku Shafiq, dengan semua pengalaman hidup dan rasa bersalah yang dia bawa, apa yang aku akan buat?”

Dan jawapan yang saya dapat secara spontan rupa-rupanya sama dengan jawapan writer.

Saya bermula dengan satu teori fandom di Threads:

Shafiq mungkin menukar identiti.

Kemudian saya mendapat satu maklumat baru:

Shafiq Zulkarnain.

Dan saya cuba cari mekanisme yang paling masuk akal dari POV Syafiq.

Akhirnya:

Imran Zulkarnain.

Dan writer memang buat begitu.

Itu yang membuatkan saya rasa puas hati gila. Sebab teori itu bukan sekadar “Uwan ialah Shafiq”. Ia menerangkan bagaimana Syafiq boleh menjadi Uwan tanpa kehilangan sepenuhnya identiti dirinya.

Dia mengambil nama Imran.

Tetapi dia mengekalkan Zulkarnain.

Dan selepas kita tahu seluruh kisah Shafiq, pilihan itu terasa sangat psychological.

Mungkin dia mahu hidup sebagai Imran kerana rasa bersalah dan kasihnya terhadap adiknya, tetapi dia juga tidak benar-benar membuang siapa dirinya.

Dia masih Shafiq.

Cuma sekarang dia hidup membawa nama Imran.

Dan yang paling lawak, Amir Ahnaf sebenarnya sudah “spoiler” dari episod 6:

“Sebenarnya Uwan tu Imran.”

Haidar pula bagi kita satu lagi clue sebelum final:

“Shafiq Zulkarnain.”

Dua-dua pelakon ni memang nakal. 😂

Amir bagi jawapan yang betul tetapi membiarkan penonton assume “Imran” yang mana.

Haidar pula bagi nama penuh Shafiq yang sepanjang 11 episod kita tak pernah tahu.

Kemudian episod 12 baru kita faham kenapa nama itu penting.

Cuma kalau production memang sengaja, saya suka, haha. dan lebih geram di caption video Youtube diletakkan SEBAGAI SHAFIQ, bukan SHAFIQ ZULKARNAIN. 

Jadi, saya be like, boleh je kut Haidar sebut sebagai Shafiq, so bila tiba di ep 12, penonton macam ok, tapi kenapa kat caption ditulis SHAFIQ, tapi dia sebut Shafiq Zulkarnain, adakah dia disuruh sebut macam tu? saya tak boleh sangka baik dah kat production.🤣


Jadi sekarang saya rasa macam:

Saya rasa inilah jenis pengalaman menonton yang saya paling suka.

Bukan semata-mata berjaya meneka twist, tetapi apabila kita cuba memahami cara watak itu berfikir, kemudian writer membawa watak tersebut ke keputusan yang sama.

Jadi kali ini saya bukan sekadar rasa:

“Saya betul.”

Saya rasa:

“Oh. Rupanya cara saya memahami Shafiq memang selari dengan cara writer memahami Shafiq.”


Dan banyak lagi sebenarnya saya nak kupas tentang cerita ini, antaranya bahasa cinta berbeza Shafiq-Amanda, Imran-Laila, sahabat, kekeluargaan, misteri dan legasi. Satu saya nak puji produksi cukup bijak dengan tidak membiarkan sedikit pun klu pasal nama Uwan ni tersalah sebut atau disengajakan dalam cerita. Dan rupanya, kalau produksi memang betul memberi klu melalui pelakon yang memegang watak ini di luar cerita.Sabar je la aku ni,

Tuesday, February 7, 2023

TUTOR ONLINE SUBJEK AGAMA

 Assalamualaikum.

Saya ada menawarkan tuisyen online bagi subjek-subjek agama sekolah menengah di sekolah iaitu Pendidikan Islam, Bahasa Arab, dan Pendidikan Syariah Islamiah di aliran perdana. Jika mahukan tutor bagi subjek Kurikulum Bersepadu Dini(KBD) seperti Lughah Muasirah dan Syariah, boleh dipertimbangkan. Ibu bapa atau pelajar yang berminat, boleh terus tekan link whatsapp www.wasap.my/60145238536/naktutor.

BIODATA

Nama: Siti Fatimah Wahidah binti Zamri

Kelulusan: Sarjanamuda Pengajian Islam dengan Kepujian (Pengajian Arab dan Tamadun Islam), UKM.

Berpengalaman 6 tahun mengajar mulai tahun 2017 sehingga sekarang di sekolah menengah agama swasta.

Wednesday, May 11, 2022

Monday, February 14, 2022

Review When the Weather is Fine

 Review K-Drama

Kalau anda inginkan drama yang slow-pace dan dijamu mata dengan sinematografi kawasan luar bandar yang menarik, anda mesti tonton drama ini. Vibe cerita ini pun rasa macam kita pun berada di musim sejuk sambil menghirup kopi memandang tepi tingkap, gitu..OST dan instrumental drama ini pun semua best, sesuai dengan latar musim sejuk tu.

Lakonan Park Min-young (Mok Hae-won) dan Seo Kang-joon (Im Eun-seob), cerita ini bermula dengan watak Mok Hae-won pulang ke kampungnya ketika musim sejuk akan bermula. Disebabkan lelah dengan kehidupan bandar, Hae-won pulang ke kampungnya dan menetap bersama ibu saudaranya.

Drama ini menarik bagi aku sebab menunjukkan kehidupan yang tenang di desa tanpa hiruk pikuk kota metropolitan seperti di Seoul.Watak Eun-seob pula mempunyai kedai buku kecil yang cantik dan cozy, Good Night Bookstore. Bertambah menarik, di kedai buku Eun-seob ini lah mereka wujudkan Kelab Buku yang akan berkumpul membincangkan pelbagai genre buku. Hae-won diajak menyertai Kelab Buku tersebut oleh rakan lama beliau, yang juga sekelas dengan Hae-won dan Eun-seob, iaitu Lee Jang-woo dipegang oleh Lee Jae-wook.Bagi peminat Kdrama yang juga bibliophile, pasti suka scene perbincangan Kelab Buku mereka ini.Banyak puisi dan cerita yang best aku dapat tahu daripada scene gathering Kelab Buku mereka ni.

Cerita ini juga mengisahkan bagaimana watak Hae-won dan Eun-seob ini berdamai dengan masa lalu.Masing-masing watak ini mempunyai cerita masa lalu yang membuatkan mereka agak sukar menempatkan diri dalam masyarakat dan lebih banyak menyendiri.Watak-watak sampingan dalam drama ini juga berjaya menambah rencah cerita ini seperti watak adik Eun-seob, ahli-ahli Kelab Buku daripada pelbagai peringkat usia, serta watak Jang-woo. Aku suka watak Lee Jae-wook dalam drama ini yang kecoh dan baik dengan kawan-kawannya, berbeza betul dengan watak Lee Jae-wook dalam Extraordinary You yang stress aje, haha..

                                                    Ahli Kelab Buku Good Night Bookstore

Kesimpulannya, jika anda inginkan drama bergenre slice of life, healing, sinematografi luar bandar yang cantik, dunia buku, kehidupan yang tenang, sila lah tonton drama ini, dan anda tidak akan menyesal.



Sunday, November 28, 2021

Review Perempuan dari Masa Lalu oleh Wafa Awla

Sudah lama, Malaysia tiada buku puisi yang menjadi best seller seperti ini. Bacalah, dan anda akan mengerti mengapa buku ini menjadi best seller. Puisi yang ditulis saudari Wafa Awla ada jiwa, dan mudah difahami oleh semua orang. Hal ini mungkin kerana coretan yang dinukilkan pernah dihadapi oleh semua orang dalam meniti usia kedewasaan.

Antara puisi kesukaan aku dalam buku ini ialah Monolog: Pagi, Ketika Seorang Lelaki dan Perempuan, Sebuah Kota dalam Dada, Monolog: Syurga ialah Rak Perpustakaan dan Seorang Perempuan dari Masa Lalu.Aku kongsikan sedikit bait-bait yang aku suka daripada buku ini:

- Monolog: Pagi

Ajaibnya pagi, ia selalu hadir sebagai sebuah petanda harapan masih lagi ada.

- Sebuah Kota dalam Dada

Di kotaku, hanya di kotaku, kami terlupa cara menjadi gembira

Kami bisu yang cuma mereka-reka bahagia.

- Monolog: Syurga ialah Rak Perpustakaan

Barangkali syurga akan seperti rak-rak buku penuh di perpustakaan.

Kata-kata berpesta berusaha menjarakkan kesunyian.


Boleh juga dengarkan bacaan puisi tersebut di Spotify:

 

 Tahniah kepada penerbitan @inibukujiwa kerana menerbitkan buku seumpama ini. Aku pasti akan mendapatkan buku puisi daripada Wafa Awla lagi selepas ini. 😃

Friday, October 15, 2021

30 Day Song Challenge - Day 14

 Hari ke-14 - is an all-time favourite.

Pilihan aku ialah Amy Mastura - Jawapan Kasih. Walaupun lagu ni release masa aku baru umur 2 tahun, tetap lah jadi kesukaan aku sampai sekarang. First time aku dengar lagu ni dalam filem lakonan Amy Mastura, terus melekat sampai sekarang. Malah dalam Spotify playlist aku, lagu ni jadi all-time favourite playlist aku.Sebab apa suka lagu ini? Tak tahu lah kenapa, muziknya yang catchy dan light, jadi sedap je didengar.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...