Friday, May 20, 2016

Cerita Korea Kami....

Ini bukan lah cerita aku pergi ke Korea ke apa. Kali ni aku nak review sebuah buku yang menghimpunkan pengalaman 4 orang rakyat Malaysia yang pernah pergi dan tinggal di Korea Selatan.Terdapat catatan Ummu Hani Abu Hassan, penulis yang aku kagum cara penulisannya, Norhayati Abu Bakar, Hanafi Sarif dan Ahmad Fouad.

Buku ini hasil terbitan syarikat Inteam Publishing.Coretan pertama dimulakan dengan Ummu Hani bercerita tentang pengalamannya sedari mula menjejakkan kaki ke bumi Korea ini bersama keluarganya.Beliau menuntut ilmu di peringkat doktor falsafah di Hankuk University of Foreign Studies dalam bidang Sastera Bandingan (Melayu).Aku suka dengan ketabahan beliau yang memulakan hidup di bumi Sonata ini dengan pada permulaan tidak tahu langsung berbahasa Korea sehingga lah boleh bertutur sedikit demi sedikit.

Sebagai seorang penulis mapan, Ummu Hani berjaya menggarap dan menganalisis budaya masyarakat Korea sama ada yang baik atau yang buruk.Budaya yang baik seperti menghormati orang yang lebih tua, budaya integriti,budaya kerja rajin dan tidak kurang juga budaya Barat yang mula menular seperti pergaulan bebas diperincikan sebaiknya oleh beliau.Tak ada lah kita disajikan dengan cerita yang manis-manis sahaja tentang Korea.

Beralih kepada catatan kedua, puan Norhayati Abu Bakar selalu mengembara dan catatan dari sudut seorang pengembara sepertinya begitu mengesankan.Beliau juga memberi tips musim mana yang sesuai untuk melancong ke Korea Selatan dalam bab Empat Musim, Empat Pilihan.Catatan ketiga oleh Hanafi Sarif daripada kaca mata seorang pelajar Kejuruteraan Mekanikal di Korea University.Beliau banyak menceritakan budaya sukan masyarakat Korea dan bagaimana survival pelajar Malaysia di perantauan.


Jika sebelum ini, banyak menyoroti bumi Seoul, catatan terakhir oleh Ahmad Fouad selaku pelajar sarjana dalam bidang antropologi juga menarik untuk dihayati.Sebagai pelajar antropologi di Chonnam National University, beliau berjaya menyorot budaya masyarakat Korea secara lebih objektif.Beliau tinggal di Busan di mana masyarakat luar Korea sangat susah dijumpai di sini apatah lagi Muslim.Busan sudah berhampiran dengan negara Jepun.

Kesimpulannya, buku ini menarik untuk diteladani pengalaman mereka yang pernah singgah di bumi yang penuh bukit-bukau dan laut ini.Jauh perjalanan, luas pemandangan.

Kasahamnida...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...