Salam alaik...
Tirai semester 4 dibuka dengan satu soalan perbincangan yang agak menarik ketika kuliah bagi subjek Metodologi Dakwah dicetuskan oleh sahabatku dalam kelab debat arab,iaitu saudari Aisyah.''Dalam sibuk kita memfokuskan kepada sasaran dakwah kita seperti kalangan kanak-kanak, remaja dan juga non muslim, kadang-kadang kita terlepas pandang mengenai golongan kelainan upaya ini. Mereka juga sebenarnya sasaran dakwah kita. Bincangkan..".
Setelah membuat research meliputi pak cik 'google'(memang sumber rujukan utama budak u ni,,huhu),maka jawapanku begini:
Mengenai isu dakwah kepada golongan kelainan upaya ini,saya berpendapat memang kita agak terlepas pandang terhadap keperluan golongan ini terhadap agama sedangkan mereka sepatutnya turut mempunyai hak yang sama seperti manusia normal.
'Isu orang kurang upaya (OKU) bagaikan tiada tempat di dalam agenda Islam dan dakwah di Malaysia.'Pensyarah Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu dapat dilihat melalui pendekatan institusi agama Islam sendiri.Maszlee juga berpendapat, isu OKU ini timbul kerana institusi agama tidak melihat diri mereka di dalam kerangka moden sebagai institusi bersifat ‘Rahmatan lil ‘Alamin’ untuk menyebarkan nilai kebajikan, sebaliknya lebih menumpu soal hukum-hakam dan undang-undang.Beliau berkata, masalah antara OKU dan institusi Islam diburukkan lagi dengan karenah birokrasi yang merencatkan usaha dakwah Islam serta tidak berani membuat sesuatu tanpa fatwa ataupun keputusan dari badan penasihat Syariah.
Antara faktor yang mungkin menyebabkan kita terlepas pandang ialah kebanyakan golongan agamawan tidak mempunyai kepakaran khas dalam mendekati golongan ini terutama dalam keperluan berbahasa isyarat dengan golongan bisu dan pekak.Kekurangan bahan bacaan agama dalam bentuk braille bagi golongan cacat penglihatan juga seharusnya diberi perhatian.
Namun,untuk mengatakan bahawa tiada langsung usaha yang dijalankan bagi membantu memenuhi keperluan agama golongan ini adalah tidak tepat.Misalnya, Ketua Projek Rintis Fakih Universiti Malaya (UM), Dr Nazean Jomhari, telah mengasaskan Akademi Fakih Intelek dengan kerjasama UM untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan bagi membantu mengajar kanak-kanak kurang upaya belajar mengaji al-Quran dan solat.Selain itu, telah wujud juga perbincangan dan keputusan memasukan pertubuhan atau organisasi yang menguruskan golongan orang kurang upaya (OKU) sebagai layak di dalam asnaf fisabilillah untuk menerima zakat.IPTA seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Persatuan Orang-Orang Cacat Islam Malaysia (PERTIS) bagi menghasilkan al-Quran dalam tulisan braille.
Namun,usaha ini tidak mencukupi semata-mata dalam tempoh jangka masa panjang.Sesuatu perlu dilakukan secara sistematik oleh organisasi kerajaan dan bukan kerajaan,individu dan masyarakat dalam membantu memenuhi keperluan beragama kepada golongan kelainan upaya ini.
Rujukan:
0 comments:
Post a Comment