Wednesday, January 14, 2015

Sains & Teknologi dalam Tamadun Islam

''Eksperimen merupakan aspek paling penting dalam ilmu kimia.Nilai ilmu kimia tidak diakui oleh apa yang dibacanya melainkan telah diuji dan dibuktikan melalui eksperimen.''
''Kunci untuk memahami struktur logam,bahkan untuk semua benda,ialah al-mizan atau keseimbangan''

Kata-kata ni aku jumpa semasa membaca dan mengkaji artikel tentang Jabir ibnu Hayyan,seorang ilmuan Islam dahulu kala yang pakar dalam bidang ilmu kimia.Tugasan ini pula terangkum dalam subjek Sains & Teknologi dalam Tamaddun Islam,antara subjek elektif yang ditawarkan untuk pelajar pengkhususan sejarah di jabatan aku.

Bila ambil subjek ini,terasa kembali ketika zaman ambil SPM,sebab aku dulu aliran sains agama.Bila belajar sains daripada sudut sejarah ni,makin menarik pula.Betapa banyaknya ilmu sains masa kini telah dimulakan dan dipelopori oleh ilmuan Islam dulu kala. Ibnu Sina (perubatan),Al-Khawarizmi (matematik), Al-Zahrawi(pembedahan), sekadar menyatakan beberapa nama begitu unggul dalam pelbagai bidang kajian di samping mereka kelihatan menyerlah dalam bidang tertentu.

Satu lagi tugasan ialah aku perlu menyiapkan sebuah artikel bertajuk ''Peringkat Perkembangan Sains & Teknologi zaman Bani Umayyah di Damsyik".Nah,di sini kesukaran bermula.Disebabkan kerajaan ini kerajaan terawal dalam tamadun Islam,maka perkembangan ilmu sains baru bermula.Tidak banyak rekod sejarah perkembangan tentang sains didapati.Aku banyak menemukan fakta yang berulang.Semua rujukan dalam bahasa Inggeris ditambah pula hanya ilmu perubatan,kimia, dan farmasi yang dilihat sedikit bermula.Aku rasa dah macam pelajar perubatan apabila senarai rujukan aku hampir kesemuanya ada perkataan "medical,pharmacy,chemistry"...haha..Ilmu ini dilihat berkembang di peringkat awal kerana berkait rapat dengan keperluan masyarakat dalam menjaga kesihatan ketika itu.

Subjek ini sungguh menarik ditambah dengan pensyarah yang sangat 'sporting'.Malah,kami dibawa melawat ke Kompleks Falak al-Khawarizmi,salah satu kompleks falak di Malaysia yang terletak di Melaka.Kami berpeluang mencerap matahari,(bulan tak dapat sebab hujan),diajar sedikit cara membaca peta bintang,serta cara menentukan arah kiblat.Kajian lapangan sebegini membuatkan subjek ini lebih menarik.Terima kasih kepada Prof Madya Dr Roziah Sidik kerana berjaya membuatkan kami menelusuri subjek ini dengan rasa teruja dan seronok.

Pada minggu terakhir semester,Dr Roziah telah mengemukakan persoalan kepada kami,"Adakah faktor-faktor kegemilangan sains teknologi tamadun  Islam dahulu dapat diaplikasikan zaman sekarang?"

Hasil perbincangan kami ialah;

  • Gerakan penterjemahan giat dilakukan daripada bahasa asing ke bahasa ibunda.Melihatkan bahasa Inggeris sekarang yang menjadi 'lingua franca',menyebabkan faktor penterjemahan ke bahasa ibunda kini sukar diaplikasikan.
  • Integrasi antara ilmu naqli dan aqli dilakukan.Walaupun sudah ada usaha dilakukan di peringkat sekolah menengah dengan diwujudkan aliran sains agama,namun ia seakan tiada ksesinambungan apabila di peringkat universiti kerana sistem sedia ada lazimnya menumpukan kepada satu-satu bidang sahaja.
  • Perlunya ada orang perseorangan atau badan bukan kerajaan yang menyokong dari segi pengeluaran dana untuk sebarang projek penggalakan bidang sains dan teknologi.
Semester 5 sudah pun berakhir.Tinggal satu semester sahaja lagi aku di bumi UKM ini bagi menghabiskan pengajian ijazah sarjana muda.Moga Allah permudahkan.

p/s:Subjek terakhir semester depan,Sastera Arab Moden,Sejarah Kesenian Islam,dan Sejarah Pemikiran Politik Islam dan tesis berkaitan kerajaan Islam terakhir di Sepanyol,kerajaan Granada.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...