''Kota Kostantinopel hanya jatuh ke tangan seorang ketua yang baik,tentera yang baik,dan rakyat yang baik,''begitulah maksud sebuah hadis Nabi Muhammad SAW.
Setelah lebih 800 tahun hadis itu diucapkan,maka ianya direalisasikan oleh Sultan Muhammad al-Fateh yang ketika itu baru berusia 21 tahun pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awal 857 Hijrah.
Petikan di atas terdapat dalam novel sejarah Islam bertajuk Sultan Muhammad al-Fateh;Penakluk Kostantinopel nukilan penulis novel tidak asing lagi iaitu Abdul Latip Talib.Gaya penceritaan diterapkan dalam penulisan bertemakan sejarah Islam membuatkan ramai yang meminati dan mudah menghadam fakta sejarah menjadikan beliau seorang penulis yang disegani tanpa perlu membikin karya fantasi pop yang popular.
Dalam banyak-banyak bab dalam buku ini,saya lebih terkesan dengan bab yang terakhir bertajuk Wasiat Seorang Penakluk.Wasiat yang diberikan baginda kepada puteranya,Bayezid II sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir begitu menusuk jiwa dan sewajarnya direnungkan setiap insan bergelar pemimpin.
Antara isi wasiatnya:
Jadilah pemerintah yang adil.Berilah perlindungan dan keadilan kepada rakyatmu tanpa pilih kasih.Kamu hendaklah MENYEBARKAN AGAMA ISLAM sebab itu adalah kewajipan raja-raja Islam.Utamakan kepentingan agama melebihi kepentingan lain.Janganlah kamu lengah dan lemah dalam usaha menegakkan agama.Jangan kamu lantik yang tidak beragama menjadi pembantumu.Jangan kamu melantik mereka yang sering melakukan dosa-dosa besar untuk peranan penting.Teruskan berjihad.Jangan kamu ambil harta rakyat kecuali sesuai dengan perintah Islam.Jagalah harta baitulmal dan jangan bazirkannya.Hormatilah ulama.Jangan sesekali mengusir mereka dari pintu istanamu.Jangan sesekali kamu melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum agama.Agama itu tujuan kita dan kita menang juga kerana agama.Jangan kamu membelanjakan harta negara dengan berfoya-foya ataupun kamu gunakan lebih daripada yang sepatutnya sebab itu membawa kepada kehancuran kerajaanmu.
Kalaulah wasiat di atas dilaksanakan oleh pemimpin masa kini,nescaya Islam pasti bangkit semula!Bersamalah kita mengambil ibrah daripada keperibadian Sultan Muhammad al-Fateh dan isi wasiatnya wajar direnungkan bersama.
0 comments:
Post a Comment