Wednesday, October 19, 2011

SALJU SAKINAH..CITRA SETABAH SUMAYYAH

Amalan membaca rakyat Malaysia dikatakan sangat mendukacitakan apabila kajian menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku sahaja dalam masa setahun. Bagi golongan remaja terutamanya perempuan, pastinya novel berbaur cinta dan romantik komedi menjadi pilihan namun fenomena novel Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman el-Shirazy mencetuskan fenomena bukan sahaja di Indonesia malah di Malaysia dan mencetus satu genre baru dalam dunia terbitan novel di Malaysia iaitu novel berunsurkan islamik. 


Antara syarikat yang aktif menerbitkan novel bergenre sebegini ialah Syarikat PTS Publications and Distributors di bawah labelnya tersendiri PTS Millenia. Saya telah membaca beberapa novel di bawah jenama ini dan saya akui terbitannya bermutu dan maaf kalau saya katakan novel islamik terbitan PTS ini lebih berkualiti daripada novel islamik terbitan negara Indonesia. Berikut antara novel yang saya pernah baca:

Salju Sakinah karya Zaid Akhtar
Novel ini ditangani dengan baik sekali oleh guru SMKA Segamat ini. Berlatarbelakangkan lulusan pengajian Bahasa Arab dari Universiti Yarmouk, Jordan membuatkan penulis berjaya mengisahkan kehidupan watak utamanya,Sumayyah yang mengikuti pengajian dalam bidang Syariah di universiti yang sama dalam tahun akhir. Pengarang berjaya menjentik emosi pembaca dengan kematian bapa kandung Sumayyah sekembalinya pulang ke tanah air setelah tamat pengajian. 


Sumayyah juga berjaya membuktikan kemampuan graduan lulusan agama apabila mengambil alih kilang kerepek arwah bapanya, Desa Wali Food Sdn Bhd di samping tidak melupakan tugas dakwahnya dengan giat memberi ceramah di merata tempat. Kehadiran Muazam, yang berusia dua tahun lebih muda daripadanya ,pembantu setia arwah bapanya di kilang kerepek yang bersuara mirip bekas teman istimewanya, Afnan menambah rasa di hati Sumayyah. 


Namun, hati Sumayyah belum terbuka menerima mana-mana lelaki sehinggakan tawaran Luqman, rakan zaman persekolahannya untuk menjadikannya suri ditolak mentah-mentah. Pergolakan keluarga turut mewarnai novel ini apabila kakak sulungnya, Safiah terlibat dalam ajaran sesat hasil pengaruh abang iparnya, Jasman namun Jasman akhirnya menerima balasannya apabila meninggal dunia dipanah petir ketika mengikut tuk guru mereka memuja sebuah tempat yang dikatakan keramat. Kematian tunang kakak keduanya, Salbiah turut menambah rencam di hatinya. 


Dan Sumayyah juga tidak terlepas diuji apabila dia sebenarnya belum bergelar siswazah kerana gagal dalam satu mata pelajaran! Hatinya yang nekad untuk segera pulang selepas tamat peperiksaan akhir tanpa menunggu hasil keputusan peperiksaan dan majlis konvokesyen rupa-rupanya membawa dirinya untuk kembali berjuang meneruskan pengajian semula di bumi Jordan itu. 


Namun, hatinya diuji lagi setibanya di bumi Jordan apabila datang lamaran untuk memperisterikannya daripada seorang pelajar pengajian sarjana, Ustaz Naufal lalu mengimbau kenangan lalunya apabila jejaka yang sama pernah menegurnya kerana pulang ke rumah pada lewat tengah malam tidak sesuai dengan statusnya yang antara EXCO Tertinggi Persatuan Pelajar Malaysia Universiti Yarmouk. Mungkin dikatakan jodoh mereka bertemu sekali lagi di pentas forum apabila diadakan satu forum dan mereka bertindak sebagai ahli panel. Namun, kali ini hatinya sudah nekad dan bersedia bergelar isteri dan restu ibu akhirnya diperolehi. Turut menggembirakan, kesedihan kakak keduanya Salbiah yang kematian tunang turut diubati oleh seseorang yang memang prihatin dengan kebajikan keluarganya iaitu Muazam! 


Cerita ini diakhiri dengan baik sekali oleh penulisnya tanpa perlu mewujudkan unsur tergantung di akhir penceritaannya. Ketika membaca baris demi baris ayat dalam novel ini, terasa seolah novel ini dikarang oleh penulis wanita namun Zaid Akhtar telah membuktikan yang penulis lelaki juga mampu mencipta sebuah naskhah yang berjaya membuai emosi pembaca.

2 comments:

Zaid Akhtar said...

salam sakinah.
terima kasih kerna sudi menikmati SS.
moga beroleh manfaatnya

sfw said...

sungguh teruja kerana penulis sendiri membaca entri ni..teruskam menulis.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...