Lama jugak saya tak mengulas buku di laman blog ni.Entah macam mana tangan aku ni 'terambil' novel Bukan yang Pertama karya Salina Ibrahim dari rak buku di bilikku.Novel ni sebetulnya aku beli pada penghujung tahun 2008.Satu-satunya novel yang aku dapat paper bag cover novel ni masa beli di kedai buku Popular.Novel ni asalnya ialah novel bersiri dalam ruangan Bicara Agama di akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan sepanjang tahun 2007.Masihku ingat lepas je balik dari kelas tambahan sewaktu tingkatan 3 tahun 2007,ruangan pertama aku cari ruangan novel ni lah sebab nak tahu sambungannya.Apabila mengetahui novel ini telah dibukukan,cepat-cepat aku membelinya untuk dijadikan koleksi.Inilah novel paling panjang pernah aku beli setebal 782 halaman.Novel lain yang paling tebal aku pernah baca ialah Salina karya Sasterawan Negara A.Samad Said dan Interlok karya Abdullah Hussain.
Novel ni mengisahkan Yasmin Zulaikha yang bergelut mencari pekerjaan bagi mengakhiri gelaran sebagai seorang penganggur selepas bergraduat dari Universiti Malaya dalam Sarjana Muda Syariah.Akhirnya,beliau mengambil keputusan mengusahakan homestay dan perusahaan makanan ringan yang telah pun dimulakan ibunya.Dalam menghadapi masalah dalam dunia pekerjaan yang baru ditempuhinya,beliau turut tidak terlepas diuji masalah keluarga terutama dalam menghadapi kerenah adik-beradiknya iaitu Anis.Karakter beliau yang digambarkan agak tegas dalam menegur adiknya diimbangi dengan kelembutan ibunya.Cara beliau menghadapi kerenah adiknya dan cuba bersabar turut menjadi panduan kepada diriku sendiri dalam menghadapi kerenah adik-adikku.
Sebagai seorang perempuan,beliau tidak terlepas diuji dengan masalah cinta apabila secara tiba-tiba,Ustaz Mustakim bekas anak murid mengaji arwah bapanya seorang duda beranak tiga datang melamar beliau.Peribadi ustaz muda itu sedikit sebanyak menambat hati kewanitaannya.Namun,selepas beristikharah dan mendapat nasihat ibu tercinta,beliau memutuskan ada orang lain yang lebih layak untuk ustaz tersebut.Siapa?Kena lah baca novel ni.Mula-mula baca tajuknya,terfikir juga kenapa Bukan yang Pertama,namun persoalanku terjawab setelah membaca semula bab pemulaan novel ini setelah dibukukan.
Realiti kehidupan masyarakat sedikit sebanyak digambarkan secara telus oleh kak Salina dalam novel ni.Mentaliti graduan universiti yang memasang angan-angan bekerja di ibu kota dengan menjawat jawatan tinggi turut menjadi angan-angan indah Yasmin Zulaikha.Namun,beliau akur tidak termasuk dalam golongan yang berjaya mendapat kerja di ibu kota lantas memaksanya berfikir di luar kotak lantas bergelar usahawan produk IKS.Pemikiran generasi muda seperti ini yang diperlukan untuk memajukan negara.
Suasana masyarakat kampung yang masih mengamalkan amalan tegur-menegur antara satu sama lain digambarkan melalui watak Mak Long Zakiah,kawan rapat ibu Yasmin Zulaikha.Watak remaja yang ingin bebas digambarkan melalui watak Anis dan watak remaja lelaki yang matang digambarkan melalui watak Azlan.Sebagai sebuah novel yang boleh dianggap novel Islamik,kak Salina memberi pengajaran melalui penampilan karakter yang mengamalkan nilai-nilai murni untuk dicontohi.
Bagi yang tidak meminati novel serius seperti ini,mungkin hanya akan membaca novel ini separuh jalan.Namun,bagi saya,novel ini penuh dengan pengajaran yang boleh diteladani.Peringatan yang disampaikan oleh penulis lewat dialog atau monolog watak-wataknya membuatkan saya banyak berhenti sejenak ketika membaca bagi bermuhasabah diri.Elemen kejutan yang diwujudkan di penghujung setiap bab membuatkan saya terpaku untuk meneruskan pembacaan.
Watak utamanya iaitu seorang perempuan muda berlatar belakangkan pengajian Islam dan akhirnya menjadi seorang usahawan mengingatkan saya dengan watak Sumayyah dalam novel Salju Sakinah karya Zaid Akhtar.Namun,novel ini tetap mempunyai keistimewaannya tersendiri melalui pemaparan semangat juang watak utamanya yang seharusnya menjadi model buat muslimah di luar sana.Jika anda menginginkan sebuah novel yang mampu mengajak anda bermuhasabah diri,inilah novelnya!Semoga kita mendapat manfaatnya.Kepada kak Salina,teruskan menulis!
0 comments:
Post a Comment