Salam ukhuwah..
Setelah sekian lama blog ini dibiarkan berhabuk,saya ingin mengisi entri kali ini tentang keindahan pantun.Saya merasakan pantun ialah seni warisan milik orang Melayu yang asli yang terletak pada susunan kata-katanya dan mesej yang terkandung di dalamnya.Dan novel Warisnya Kalbu karya Sri Rahayu Mohd Yusop menjadikan keindahan pantun sebagai tema utamanya di samping unsur sejarah Pahang turut diselitkan dalam bentuk penggunaan bahasa Melayu klasik.Novel ini ialah pemenang tempat pertama kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan bagi tahun 2007.Saya akui bahawa pemenang-pemenang HSKU lazimnya mempunyai imej dan mesej tersendiri lewat penulisan karya-karya mereka.Mesej dan gaya pengolahan mereka lazimnya sangat berbeza daripada penulis-penulis novel popular lain.Saya mengenali nama-nama seperti Faisal Tehrani,Ummu Hani Abu Hassan,Siti Jasmina Ibrahim,Zaid Akhtar dan Abu Hassan Morad kerana HSKU.
Daripada berpelita saja,
Mari kita memasang ungggun,
Daripada duduk saja,
Mari kita lawan berpantun.
Pantun di atas yang mula-mula dijumpai di dalam novel ini.Penceritaan bermula dengan keazaman beberapa anak muda remaja yang gigih untuk berlatih bagi menyertai sayembara pantun peringkat daerah.Keazaman dan kefasihan Hasan Basri,Xian Rong,Khadija dan Rohana dengan masalah tersendiri menjelang pertandingan mewarnai plot novel ini.Hasan Basri diperlekeh oleh abangnya yang berkecimpung dalam arena debat dengan tanggapan 'apa hebatnya pantun,macam senang je.'Khadija ingin mencari citra bangsa dan agamanya sendiri dengan berpantun lantaran dibesarkan dalam keluarga kacukan Melayu-Inggeris.Dia mula memakai tudung sewaktu latihan bagi pesta pantun bermula.Saya bagaimanapun tertarik dengan jawapan Xian Rong dalam novel ini alasan mengapa dia berminat dengan pantun sedangkan dia bukanlah orang Melayu.
''Xian Rong,kenapa pantun?''
''Ia berkait rapat dengan bidang matematik yang saya suka.''
''Bagaimana?''
''Padanan angka-angka genap,bilangan suku kata,ada unsur kesimetrian.Pantun adalah matematik dalam bentuk perkataan''.
Nah,sungguh mengagumkan.Jadi,pantun sebenarnya adalah lambang kegeniusan orang Melayu!Mencipta pantun bukanlah sekadar memastikan rima akhirnya iaitu a-b-a-b sempurna malah memastikan pembayang pantun juga kelihatan seimbang dengan maksud.Satu perkara baru yang saya ketahui tentang pantun melalui novel ini ialah rima pantun di bahagian tengah atau dipanggil sanjak tengah juga merupakan ciri kesempurnaan pantun.Dan pantun Melayu juga tidak harus terlepas daripada ciri-ciri alam sekitar dalam pembayang pantun.
Senang-senang mari berjalan,
Kita pergi ke rumah Cik Salmah,
Kalau ilmu tidak diamalkan,
Ibarat pokok tidak berbuah.
Jika kita perhatikan pantun di atas,tidak terdapat persamaan rima di bahagian tengah.
Kalau tuan naik pelantar,
Jangan merusuh bawa cedera,
Kalau tuan orang yang pintar,
Apakah musuh utama negara?
Pantun di atas pula kelihatan sangat sempurna.
Terdapat juga pantun Melayu yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris dalam novel ini malah penterjemahannya tidak mengetepikan keindahan pantun.
Anak ikan dimakan ikan,
Pengail jemu rezeki tiada,
Sahabat bukan saudara bukan,
Badan bertemu tak tahu untungnya.
Terjemahannya ialah:
As a little cod is eaten by another,
The angler moans the rod didn't bend,
Acquainted we're not,related never,
But here we meet to what end.
Pengakhiran novel ini diakhiri dengan kemenangan Hasan Basri dan rakan-rakannya dalam sayembara pantun peringkat daerah.Abangnya sendiri yang selama ini memperlekehkannya dengan tanggapan 'apa ada pada pantun' turut berkata:
''Ya,bagaimana nak menyampaikan maksud yang begitu tepat dalam struktur yang begitu terkawal dalam masa tiga puluh saat?Hanya seorang genius dapat melakukannya.''
Moralnya,berbanggalah kita dilahirkan sebagai bangsa Melayu yang identitinya telah termaktub sekian lama sebagai bangsa yang beragama Islam.
3 comments:
Assalamualaikum Saudari Fatimah Wahidah,
Terima kasih kerana telah sudi membaca Warisnya Kalbu. Saya gembira yang saudari menggemarinya.
Sri Rahayu Mohd Yusop
Waalaikumsalam..
sungguh teruja kerana penulis sendiri membaca entri ini..teruskan menulis..
Bahasa pantun memang indah. mula menggemari pantun sejak dipilih mewakili sekolah dalam pertandingan pantun. Dan pantun menjadi wadah meluahkan perasaan di awal perkenalan dengan suami... kenangan yang indah.
Post a Comment