Tuesday, September 28, 2021

Review Coffee Sara

 


TAKDIR…

Bagi aku, perkataan ni yang menggerakkan jalan cerita Coffee, Sara. Semua watak dalam ni belajar menerima takdir masing-masing. Cuma, cara bagaimana, cepat atau lambat sangat bergantung kepada diri sendiri dan sokongan orang sekeliling. Walaupun watak dalam ni agak banyak, penulis bijak membuat kita tahu perbezaan karakter setiap watak tersebut tanpa kita keliru. Aku suka nama watak-watak dalam ni yang ringkas dan senang disebut; Adam, Sara, Kifli, Fazwan.

Pertama kali baca karya Ieya Sya , aku boleh habiskan satu malam sahaja.Novel ni genrenya misteri dan thriller. Ada isu tentang lucid dreamer dalam ni. Bagus penulis selitkan isu ni dalam novel, dapat jugak aku pengetahuan baru.Plot nya macam kita tengok drama yang thriller di mana penghujung setiap bab penulis bijak letakkan cliffhanger membuatkan kita akan terus membaca. Sedar-sedar dah jam 3 pagi.πŸ˜‚

Cara penulis menulis cerita macam aku rasa sedang tengok filem Hollywood. Cara watak-wataknya berdialog mengingatkan aku kepada filem rom-com Hollywood. Cuma, cadangan aku, penulis tambah sedikit apa-apa yang membuatkan latarnya ada nuansa tempatan.Ada juga disebut tapi bagi aku belum cukup. Contohnya, disebut menu makanan Malaysia atau latar tempat Malaysia yang popular seperti Langkawi dan Cameron Highland. Jika tidak, aku akan rasa macam baca novel Inggeris yang diterjemahkan.

Bagi aku yang dah lama sangat tak baca novel Melayu, sejak syarikat Jemari Seni tutup, yes, aku akan cari lagi novel Ieya Sya yang lain pulak. Cara penulisan beliau bagi aku ada identiti sendiri. Kudos kepada penulis.πŸ‘

Tuesday, August 17, 2021

Review Monthly Magazine Home

 Review K-Drama


Drama ni boleh dikatakan kategori slice of life. Mengisahkan Na Young-won lakonan Jung So-min sebagai seorang editor. Watak penulis dan editor sesuai sungguh dengan So-min ni. Sebelum ni, dia pegang watak penulis dalam Because This is My First Life. Permulaan cerita, dia kena halau dari rumah sewa sebab ada orang beli bangunan tempat dia tinggal Dipendekkan cerita, dia pun baru kena buang kerja, kira sudah jatuh ditimpa tangga la.

Kemudian, kenalannya rekemen kerja kat syarikatnya. Young-won yang terdesak dan ketua editornya terdesak terima je Young-won ni kerja tanpa interview beria sangat. Rupanya, sebab bos mereka Yoo Ja-sung lakonan Kim Ji-suk seorang yang sangat cerewet, tak ada yang tahan kerja kat situ sebelum ni.Syarikat Young-won pergi interview ni syarikat majalah yang bertemakan dekorasi rumah dan hartanah. Dan Ja-sung ni rupanya ejen hartanah terkenal yang pakar bab-bab hartanah ni dan baru beli syarikat tu dan jadi CEO. Ja-sung ni juga yang beli rumah Young-won sebelum ni.

Disebabkan satu insiden, Ja-sung sewakan salah sebuah rumahnya kepada Young-won.Cekal betul watak Young-won dalam cerita ni. Ja-sung ni jugak ada channel Youtube sendiri bagi tips beli rumah dan urus kewangan. Young-won pun jadi semangat nak simpan duit untuk beli rumah sendiri.

                                         Cantik pejabat majalah Monthly Magazine Home ni.

Cerita ni sangat healing. Cerita tentang kehidupan di mana semua orang ada impian ada rumah sendiri.Watak-watak pekerja di syarikat Monthly Home pun ada karakter masing-masing. Confirm lepas tengok cerita ni, kita semua jadi semangat nak saving untuk ada rumah impian sendiri. Ilmu hartanah dan bagaimana memilih rumah untuk dibeli pun kita dapat dengan tengok cerita ni.


Cerita ni juga masuk kategori drama lipat kain bagi aku. Maksudnya, best untuk diulang banyak kali sebab tak berat jalan ceritanya dan kita boleh relate kehidupan mereka dalam cerita ni. Kerenah pekerja-pekerja yang bertahan dengan Ja-sung yang cerewet pun kelakar untuk ditonton. Recommended K-drama terbaik bagi genre
slice of life.



Thursday, July 29, 2021

Review Kim Ji-yeong ( κΉ€μ§€μ˜) Lahir 1982

Selepas tonton filemnya, baru aku baca bukunya. Bagi aku, baik buku atau filem, keduanya mempunyai garapan terbaik dan tersendiri bagi menterjemah rasa Kim Ji-yeong.Boleh dapatkan buku ni dari @gadisbuku.Filem nya aku tonton di TVN Movies. Novelnya diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh penerbit Gramedia.Novel ni jadi kontroversi kat Korea sebab bawak isu feminisme kononnya. Bukan senang wanita nak survive dalam sistem patriarki di negara Asia khususnya.

Buku ini mengisahkan Kim Ji-yeong yang mula mengalami depression setelah melahirkan anak. Dia mula menjadi orang lain. Hal ini disedari oleh suaminya. Yang bagusnya, watak suami Ji-yeong sangat supportive supaya isterinya menjadi sihat seperti sedia kala. Dalam filem digambarkan jelas sikap suaminya yang menyokong setiap apa yang Ji-yeong buat.Dalam filem, Gong Yoo membawa watak suami Ji-yeong yang menggalakkan isterinya mendapatkan rawatan di hospital, menyusun temujanji dan menguruskan kerja rumah. Jika tidak kerana sokongan suami, mungkin depression Ji-yeong menjadi lagi parah.

Dilema wanita bermula sejak lahir, zaman sekolah, universiti, alam pekerjaan, dan bergelar isteri dan ibu digarap dengan baik menerusi monolog dalaman Kim Ji-yeong. Semua yang bergelar perempuan rasanya boleh relate dengan monolog dalaman Kim Ji-yeong. Diskriminasi antara pelajar lelaki dan perempuan di sekolah, diskriminasi terhadap pelajar universiti sewaktu untuk mendapatkan pekerjaan, sehinggalah wanita bekerjaya yang terpaksa mengimbangkan antara kerjaya dan tugas sebagai ibu.


Sentiasa ada tekanan pada setiap peringkat umur bagi wanita. Ditambah pula dengan sistem patriarki yang diamalkan di kebanyakan negara Asia menyebabkan wanita sentiasa tertekan untuk memenuhi jangkaan masyarakat. Di Korea lagi lah apabila tekanan wanita untuk melahirkan anak lelaki untuk membawa nama keluarga.Isu tentang diskriminasi gender ini nampaknya tak akan berkesudahan.

Persoalannya, adakah wanita akan terus membiarkan diri larut dalam jangkaan masyarakat atau berani bersuara dalam mempertahankan diri?

                                                               Review di ML Studios

Tuesday, July 27, 2021

Review Manikam Kalbu

 


Sungguh teruja membaca kisah dua zaman diceritakan dari sudut pandang seekor kucing. Zaman kesultanan Melayu Melaka membawakan kisah Manikam Kalbu, seorang hamba yang meminati ilmu busana. Garis masa menunjukkan transisi penduduk ketika itu di awal permulaan Islam di mana pakaian menutup aurat belum meresap dalam kalangan masyarakat.Banyak penggunaan bahasa Melayu lama dan istana digunakan tetapi jangan risau, ada glosari di bahagian belakang buku ini.

Manakala, zaman moden menceritakan Ziryab, seorang pelajar yang mengkhusus dalam jurusan jahitan di Sekolah Teknik.Dia seorang yang berminat dengan ilmu jahitan dan pakaian Melayu Islam walau dia seorang jejaka.Disebut semua jenis kain dan jahitan di dalam buku ini.Terjumpa la istilah jahitan kia, insang pari, kain cindai jantan, kain kasa dan pelbagai lagi.Teringat kenangan ketika belajar subjek Kemahiran Hidup Bersepadu pilihan Ekonomi Rumah Tangga ketika menengah rendah. 

Garapan yang menarik menggabungkan ilmu tentang busana Melayu serta sejarahnya. Dikaitkan pula dengan bagaimana kedatangan Islam membentuk kebudayaan Melayu itu sendiri dalam berpakaian. Falsafah penciptaan baju kurung dan baju Melayu disebut dengan jelas.Sungguh lah Melayu dan Islam itu berpisah tiada.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...